LEBIH dua dasawarsa bergelumang dalam dunia seni dan berjaya membina portfolio sebagai pelawak disegani sehingga dinobatkan gelaran Manusia Paling Lucu di dunia dua tahun lalu, Harith Iskander tetap akur dengan kritikan mengatakan komedinya tidak begitu berkesan buat segelintir peminat.
Harith atau nama sebenarnya, Harith Iskander Musa, 52, tidak menafikan segelintir peminat yang tidak berpuas hati dengan cara komedinya yang disifatkan tidak kelakar. Ujarnya, itu pendapat masing-masing.
“Bagi saya mudah. Semakin tinggi kejayaan seseorang, semakin ramai yang akan mencuba untuk menarik ke bawah. Saya sudah biasa hidup seperti ini.
“Apa yang saya buat, andai seseorang pengguna Twitter itu misalnya tidak mempunyai gambar wajah dan pengikut boleh dibilang jari, saya anggap sahaja mereka tiada kerja dan suka menjadi troll (pengacau),” jelas pelawak yang pernah membintangi filem Hollywood, Anna and the King itu.
Ditanya lebih lanjut, lelaki kelahiran Johor Bahru itu tiada masalah andai terus dikritik, namun pantang sekiranya melibatkan isteri, Jezamine Lim dan tiga anaknya, Zander Xayne, Alessandrea Jayne dan Zydane Xayne.
“Kalau melampau sampai kutuk keluarga, memang kebiasaan saya sekat (block) sahaja. Selepas itu, teruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya okey kalau ingin kata saya tidak kelakar. Kritik saya sahaja, namun jangan libatkan isteri dan anak-anak,” getus Harith ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar pelancaran program terbaharu kelolaannya, Got Science? untuk siaran BBC Earth (saluran Unifi 501). Berbicara tentang program Got Science, Harith mendedahkan dia bukan seorang pelajar sains yang baik ketika di bangku sekolah. Namun, itu tidak membataskan kemampuannya untuk mengacarakan program berkenaan.
Got Science?
“Saya akui ketika di bangku sekolah, sains adalah mata pelajaran saya yang paling lemah. Saya tidak suka mata pelajaran tersebut kerana cara pembelajaran yang diguna pakai ketika itu tidak menarik.
“Bila saya baca skrip Got Science?, saya pun musykil kerana sains ketika zaman belajar tidak menarik seperti ini. Barangkali pendekatan yang digunakan di sekolah kurang menarik,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Curtin, Perth, Australia itu.
Program Got Science? bersiaran selama 30 minit tanpa iklan. Setiap episod mengandungi lima sehingga enam soalan yang bercirikan pengembaraan, makanan termasuk mitos dalam kalangan masyarakat Asia.
“Banyak fakta sains yang saya belajar daripada program ini. Mengapa buah durian baunya sangat kuat? Mengapa nyamuk suka menggigit orang yang berdarah O? Mengapa rambut tidak boleh basah kalau tidak akan demam?
“Semuanya akan terjawab dalam Got Science? dan saya akan menjadi diri sendiri termasuk menyelitkan lelucon agar bersesuaian dengan sasaran audiens iaitu kanak-kanak juga ibu bapa,” jelas Harith panjang lebar.
Mengulas perkembangan baharu, Harith memberitahu, dia sibuk mengusahakan The Joke Factory yang kini beroperasi di The Square, Publika sejak tiga bulan lalu. Harith menguruskan kelab komedi yang turut berfungsi sebagai kafe berkenaan bersama isterinya, Jezamine.
“Ramai juga pelawak yang sudah membuat persembahan di situ (The Joke Factory) seperti Fakkah Fuzz dan Andrew Netto. Gurmit Singh yang terkenal dengan siri Phua Chua Kang juga membuat persembahan di situ.
“Selain itu, The Joke Factory juga mengadakan persembahan mikrofon terbuka buat pelawak amatur yang ingin mencuba nasib di atas pentas. Untuk keterangan lanjut, boleh melawati Instagram rasmi, @thejokefactory.com.my,” katanya.











