KUALA LUMPUR 20 Sept. – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib yang menimpa ibu bapa kepada dua beradik Aira Arisha Rohaizat, 10 bulan dan Mohd Haris Ashraf Rohaizat, 5, yang menghidapi masalah Congenital Central Hypoventilation Syndrom (CCHS) iaitu masalah berkaitan pernafasan.

Nasib kedua-dua mereka yang perlu menjalani pemeriksaan sebanyak dua kali sebulan dan kerap ditahan di wad itu kini bergantung kepada pendapatan bapa, Rohaizat Asyikin Ismail bekerja sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing, Grab selepas diberhentikan kerja awal bulan ini.
Isterinya, Mariam Osman, 37, memberitahu, suaminya diberhentikan kerja kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak-anak.
“Dahulu, pendapatan suami sebanyak RM1,600 sebulan dan bantuan zakat dapat menampung keperluan kami sekeluarga tapi sekarang pendapatan itu sudah tidak mencukupi.
“Pendapatan daripada membawa penumpang Grab tidak cukup, apatah lagi suami terpaksa menyewa kereta untuk tujuan itu.
“Duit belanja untuk berulang ke hospital sahaja sudah tinggi,” katanya ketika ditemui.
Tambah Mariam, setiap bulan mereka memerlukan kira-kira RM4,000 untuk menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan sekolah empat lagi anak dan kos rawatan dua orang anaknya yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan terutama ketika tidur.
“Saya sedih melihat nasib anak-anak yang terpaksa berlapar dan makan ala kadar disebabkan masalah kewangan. Kami juga pernah meminjam wang daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Lebih memeritkan lagi apabila bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ditamatkan pada April lalu dengan alasan gaji suami sudah mencukupi. Saya berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan untuk membantu kami menyediakan rawatan kepada anak yang sakit,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan derma kepada Mariam di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1011641000123201 atau menghubunginya di talian 017 3712928.










