Hukuman sebat sengaja dipolitikkan - Utusan Malaysia

Hukuman sebat sengaja dipolitikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 9 Sept. – Pas menyifatkan dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan hukuman sebat di Terengganu tempoh hari memberi gambaran buruk terhadap Islam sebagai satu pandangan tidak berteraskan pemahaman terhadap agama itu sendiri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tanpa mempersoalkan apa sebenarnya niat pihak yang mengeluarkan kenyataan sedemikian namun jelas pihak

terbabit tidak begitu memahami Islam sehingga memberikan persepsi negatif.

“Ini satu pandangan tidak berteraskan pemahanan terhadap Islam itu sendiri, (namun) kita tak mahu persoal niat dia tu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan penganjuran Muktamar Tahunan Pas di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari bahawa hukuman sebat ke atas dua wanita di Terengganu memberi gambaran buruk terhadap agama Islam.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyifatkan pelaksanaan hukuman itu mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam Islam, sebaliknya Islam tambah beliau, bukan agama bengis.

Takiyuddin kesal pelaksanaan hukuman sebat itu telah dipolitikkan sedangkan ia merupakan konsep perundangan mengikut syariah sebagaimana undang-undang sivil.

Bagaimanapun jelasnya, hukuman sebat mengikut undang-undang sivil sepatutnya memberi gambaran lebih keras, zalim dan menyeksakan pesalah berbanding sebat mengikut undang-undang syariah yang bertujuan mendidik.

“Berapa ramai penjenayah sivil keluar masuk penjara, walau disebat tapi masih masuk lagi (penjara). Sedangkan dalam Islam, meskipun tak sakit tapi rasa malu dan serik kerana dilaksanakan secara terbuka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN