Hukuman sebat didik masyarakat peka jenayah syariah - Utusan Malaysia

Hukuman sebat didik masyarakat peka jenayah syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL bulan lalu, dua orang wanita berumur 32 dan 22 tahun dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis di tempat letak kereta Arena Merdeka, Dungun, Terengganu.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 30 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu kesalahan musahaqah atau persetubuhan di antara perempuan de­ngan perempuan.

Mereka dihadapkan ke mahkamah pada 12 Ogos lalu dan hukuman sebatan telah dilaksa­nakan di dalam dewan Mahkamah Tinggi Syariah dengan dihadiri lebih kurang 100 orang terdiri daripada pegawai mahkamah, wakil media, badan bukan kerajaan dan peguam syarie pada 3 September lalu.

Biarpun begitu, tindakan yang dikenakan ke atas kedua-dua pesalah itu me­ngundang perasaan kurang senang dalam kalangan segelin­tir rakyat Malaysia yang mendakwa ia memalukan dan tidak wajar dilakukan terhadap manusia.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad menemu bual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang di pejabatnya baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Boleh tuan ulas mengenai hukuman sebat yang dijalankan terhadap dua orang wanita di Terengganu baru-baru ini?

MUSA: Sebenarnya, ini bukan hukuman sebatan Syariah yang pertama dilaksanakan di negara ini. Pada tahun 2009, hukuman sebat pernah dijatuhkan ke atas kesalahan minum arak di negeri Pahang. Bagaimanapun, hukuman tersebut digantikan dengan arahan membuat kerja-kerja khidmat masyarakat dengan pengampunan Sultan Pahang.

Malah, sekitar tahun 2016, hukuman sebat pernah dijalankan di Mahkamah Syariah di Tawau, Sabah yang melibatkan pasangan yang melakukan kesalahan zina. Begitu juga di Selangor, beberapa pesalah pernah disebat atas kesalahan persetu­buhan luar nikah dan sumbang mahram. Namun, hukuman tersebut dijalankan di penjara.

Hukuman sebatan ini hanya sekadar untuk memberi pengajaran dan bukan untuk mencederakan pesalah.

Pada pendapat tuan, mengapakah hukuman sebat yang dijatuhkan ini sukar diterima oleh orang ramai dan mendakwa ia merupakan hukuman yang zalim?

Kes di Terengganu merupakan kes sebatan pertama yang melibatkan pasangan lesbian. Ia menjadi polemik dan sensasi mungkin disebabkan pasangan yang dikenakan hukuman ialah pa­sangan lesbian.

Tambahan pula beberapa bulan sebelum itu, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah mendapat perhatian masyarakat sehingga dibahaskan di Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat pada Julai 2018.

Justeru saya berpendapat, ia menjadi sensasi kerana masyarakat masih belum hilang kehangatan tentang isu-isu berkaitan LGBT. Kemudian muncul kedua-dua pesalah lesbian dihadapkan ke mahkamah, dijatuhkan hukuman dan dilaksanakan sebatan ke atas mereka.

Mungkin sebab itu ada pihak yang sukar menerima cara hukuman tersebut dilaksanakan sehingga ada yang mendakwa hukuman itu menjatuhkan martabat, maruah, memalukan serta menyakitkan mereka. Sedangkan hakikatnya, apa yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah Terengganu tersebut tidak seperti yang mereka dakwa.

Ini kerana, mereka diberi peluang merayu seba­nyak tiga kali sebelum dijatuhkan hukuman dan ditanya sekali lagi sama ada ingin merayu atau tidak sebelum disebat.

Bukan itu sahaja, semasa prosiding pelaksanaan hukuman, dua pesalah wanita itu diberi layanan yang baik, diperiksa tahap kesihatannya terlebih dahulu oleh pegawai perubatan, disebat dalam keadaan berpa­kaian lengkap dan menutup aurat. Mereka juga disebat oleh tukang sebat wanita dengan cara dan alatan sebat mengikut spesifikasi serta ketetapan hukum syarak. Malah, tiada sebarang rakaman audio atau video dibenarkan.

Kita harus tahu membezakan antara hukuman sebatan di mahkamah sivil dan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah. Ia berada dalam undang-undang berbeza dan mempunyai cara pelaksanaan yang berbeza. Sebatan syariah tidak sama dan jauh lebih ringan berbanding sebatan di mahkamah sivil.

Justeru, saya tidak nampak berlaku sebarang kekejaman, kezaliman, memalukan atau menjatuhkan maruah kedua-dua pesalah wanita tersebut.

Pada pendapat tuan, a­da­kah hukuman sebatan seperti ini relevan dipraktikkan di negara ini dan kenapa?

Hukuman sebatan syariah terdapat dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan hanya dikenakan kepada pesalah yang beragama Islam sahaja. Ia diperuntukkan dalam beberapa kesalahan tertentu terutamanya yang melibatkan kesalahan berhubung dengan kesusilaan.

Malah, tidak semua kesalahan jenayah syariah dikenakan hukuman sebat. Sebagai contoh, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, terdapat lebih 57 kesalahan jenayah syariah dalam enakmen tersebut dan hanya tujuh kesalahan sahaja yang boleh dikenakan hukuman sebat iaitu kesalahan doktrin palsu, sumbang mahram, persediaan melacurkan diri, persediaan melacurkan isteri atau anak, melacurkan isteri atau anak, muncikari (menjadi ibu atau bapa ayam), musahaqah (lesbian) atau bersubahat dengan mana-mana kesalahan berkenaan.

Umum perlu mengetahui hukuman sebatan syariah langsung tidak menyakitkan atau mendatangkan kecederaan kepada pesalah. Orang yang berpeluang menyaksikan proses sebatan tersebut pasti bersetuju bahawa hukuman sebatan syariah bukan suatu yang menyakitkan atau menzalimi pesalah. Orang yang mempertikaikan hukuman tersebut berkemungkinan tidak menyaksikan sendiri dan hanya mendengar khabar angin sahaja.

Justeru bagi saya, hukuman ringan sebegitu akan sentiasa rele­van sepanjang masa. Ini kerana, tujuan utama hukuman dalam jenayah syariah ialah bukan untuk menghukum atau menyakitkan pesalah secara fizikal, tetapi untuk memberi pengajaran kepada saksi yang melihat hukuman yang dijalankan, dan memberi pendidikan kepada orang Islam lain.

Apakah jenis-jenis kesalahan lain yang boleh dijatuhkan hukuman sebatan syariah?

Hasil penelitian saya terhadap undang-undang kesalahan jenayah Syariah negeri-negeri, kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang boleh dijatuhkan hukuman sebatan syariah berbeza antara setiap negeri.

Setiap negeri mempunyai Akta Kesalahan Jenayah Syariah yang tersendiri seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1994, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan lain-lain lagi.

Pesalah akan dijatuhkan hukuman berdasarkan akta atau enakmen yang diperuntukkan mengikut negeri masing-masing.

Biarpun begitu, kebiasaannya antara kesalahan yang boleh dijatuhkan dengan hukuman sebatan di kebanyakan negeri ialah seperti doktrin palsu, sumbang mahram, melacurkan diri, isteri atau anak, persetubuhan luar nikah atau persetubuhan luar tabii.

Pada pendapat tuan, adakah hukuman seumpama itu mampu mengurangkan kadar jenayah sosial yang berlaku di negara ini?

Kita perlu positif dan optimis, ia mampu mencegah dan mengurangkan kadar jenayah sosial dan syariah di negara ini.

Kita lihat dari sudut positif bila timbul isu ini, kita boleh gunakan ruang yang ada untuk menjelaskan apakah itu kesalahan jenayah syariah serta hukumannya.

Pada pendapat tuan, adakah kemungkinan hukuman ini dipraktikkan di seluruh negara?

Itu bergantung kepada kerajaan negeri kerana undang-undang syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kecuali di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pelaksanaan ini bagaimanapun memerlukan kajian yang lebih teliti seperti adakah sebatan di khalayak ini memberikan kesan positif kepada masyarakat Islam atau sebaliknya.

Meskipun ia berada di bawah bidang kuasa negeri, perlu ada suatu penyelarasan dan penyeragaman supaya menampakkan kecantikan dan keindahan syariah. Kita tidak mahu undang-undang syariah dan pelaksanaannya kelihatan berbeza antara negeri. Ia akan membuat masyarakat menjadi keliru dan bercelaru.

Apakah cadangan atau penambahbaikan yang perlu dilakukan jika hukuman sebatan di khalayak ramai ingin dipraktikkan di negara ini?

Banyak perkara perlu diperhalusi. Pertamanya, perlu ada penyelarasan dan penyeragaman peruntukan undang-undang ber­kenaan hukuman sebatan syariah dalam undang-undang jenayah syariah negeri.

Kaedah pelaksanaan sebatan juga perlu diselaraskan dengan operasi standard yang boleh dijadikan suatu peraturan kecil. Hukuman ini juga perlu dijaga dan diteliti dari sudut maqasid syariy­yah supaya tidak mendatangkan tohmah kepada Islam dan institusi Islam.

Pihak kerajaan negeri dan mahkamah syariah perlu mene­liti dan mengkaji kaedah terbaik dalam pelaksanaan hukuman sebat. Sama ada ia perlu dibuat secara tertutup di penjara atau secara khalayak. Dalam keadaan bagaimana ia perlu dilaksanakan secara tertutup dan dalam kea­daan mana perlu di buat di khala­yak.

Biarpun begitu, kami selaku peguam syarie sentiasa berlapang dada dan bersedia untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan perkara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN