KUALA LUMPUR 21 Sept. – Semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan bakal menggunakan teknologi terapi lintah sebagai alternatif kepada penyembuhan bengkak dan luka dalam tempoh dua tahun lagi.
Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Am, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Prof. Dr. K. R. Harikrishna Nair berkata, pihaknya sedang melakukan kajian akhir mengenai penggunaan terapi itu dengan menyahkuman lintah yang diyakini mampu memendekkan tempoh penyembuhan bengkak dan luka yang secara konvensional mengambil masa lima hari sebelum ini kepada satu hari.
Menurutnya, lintah atau nama saintifiknya hirudo medicinalis mempunyai enzim yang dapat menahan darah terus membeku semasa gigitannya, justeru melancarkan peredaran darah yang boleh mempercepatkan proses penyembuhan.

“Buat masa ini kita tunggu kelulusan Jawatankuasa Etika Kebangsaan bagi melengkapkan kajian yang kini berada di peringkat akhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Global Wound Conference di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Datin Dr. Asmah Samat dan Pengarah HKL, Dr. Heric Corray.
Harikrishna Nair berkata, Malaysia merupakan negara pertama di dunia melakukan proses menyahkuman lintah bagi tujuan terapi dalam perubatan.
Lintah berukuran 10 sentimeter itu katanya, dibawa daripada pembekal di Kuala Lumpur dan Terengganu.
Dalam pada itu beliau berkata, kira-kira 17.5 peratus daripada populasi rakyat di negara ini disahkan menghidap kencing manis dan angka itu dilihat antara tertinggi selepas Arab Saudi yang merekodkan 25 peratus.











