ARAGON, Sepanyol – Insiden pelanggaran di antara Jorge Lorenzo dan Marc Marquez pada Grand Prix Aragon Ahad lalu membuatkan Honda perlu memikirkan mengenai situasi yang bakal mereka hadapi sepanjang musim depan.
Musim 2019 menyaksikan Lorenzo bakal menyertai Honda untuk bergandingan bersama Marquez dengan harapan dapat memberikan kejayaan kepada pasukan itu.
Bagaimanapun, insiden Ahad lalu menimbulkan kemarahan Lorenzo yang menuduh Marquez sebagai perosak kerana menjadi punca dia terjatuh di selekoh pertama seawal pusingan pertama.
Ia perkembangan yang kurang baik buat Honda yang perlu bersiap sedia sekiranya ‘perang dingin’ antara kedua-dua pelumba dari Sepanyol itu berterusan sehingga musim depan.
Bagaimanapun, Pengarah Honda, Alberto Puig optimis mampu mencipta pasukan terbaik bersama kedua-dua pelumba tersebut secara keseluruhan sambil menjangkakan pertelingkahan itu berlaku hanya dalam situasi tersebut dan tidak akan berlarutan.
Dalam pada itu, jurutera trek Marquez, Santi Hernandez mempertahankan pelumbanya dengan menyifatkan Lorenzo harus profesional sekiranya mahu berlumba dengan selesa sebagai rakan sepasukan Marquez.
“Semua pelumba sudah menjangkakan Marquez akan bersaing dengan agresif untuk memenangi perlumbaan. Justeru, jika mereka bersungguh-sungguh mahu menang, mereka perlu tahu bahawa itu merupakan risiko yang perlu dihadapi,” katanya.
Pada perlumbaan Ahad lalu, Lorenzo berpeluang untuk menjuarai saingan itu apabila memulakan perlumbaan di petak pertama. Bagaimanapun, impiannya untuk melakar kejutan di Litar MotorLand, tidak kesampaian apabila terlibat dalam insiden tersebut. – Agensi











