KUALA LUMPUR 4 Sept. – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan telah berjumpa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini bagi memberikan keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan wang kerajaan.
Hishammuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau dengan rela hati telah berjumpa agensi penguatkuasaan itu setelah namanya disebut oleh seorang peguam untuk dipanggil SPRM.
“Saya buat keputusan untuk berjumpa dengan SPRM dan tanya mereka sendiri.
“Mereka sangat profesional. Saya yakin mereka akan siasat secara adil dan telus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, peguam kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid mendakwa SPRM akan memanggil Hishammuddin untuk memberi keterangan.
Katanya, alasan itu merupakan hujah yang dikemukakan SPRM untuk melanjutkan tempoh reman Hasanah sehingga tujuh hari daripada tempoh ditetapkan. – UTUSAN ONLINE











