JOHOR BAHRU 25 Sept. – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan parti untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan bagaimanapun berkata, beliau menghormati dan akur dengan keputusan yang telah dibuat.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti perlu turun ke Port Dickson bagi memberi penjelasan kepada ahli apa yang perlu dilakukan semasa hari mengundi pada PRK itu kelak.
“Adakah mereka (ahli) perlu mengundi pihak lawan? Adakah mereka langsung tidak perlu mengundi? Atau apa yang akan terjadi sekiranya mereka mengundi (pihak lawan)? Sekiranya mereka mengundi pihak lawan, adakah mereka akan dikenakan tindakan tata tertib mengikut Perlembagaan parti?
“Ini antara kesan yang akan kita (parti) alami sekiranya kita membuat keputusan di luar daripada kebiasaan,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Bersama UMNO Bahagian Tebrau di Savanna Hill Resort di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Hishammuddin berkata, beliau telah menasihatkan pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan sebarang keputusan yang diambil.
“Saya sebagai ketua bahagian hanya akur dan menghormati keputusan yang dibuat. That’s all i can do but i had also advise them to be watch out,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong turut memaklumkan dirinya bersedia untuk menjadi penghubung antara pimpinan negeri dan pusat.
Katanya, kerjasama antara perhubungan negeri dan pusat perlu diperkukuh dan untuk itu dirinya akan membantu sedaya mungkin memandangkan dirinya mempunyai pengalaman luas terhadap pemerintahan di peringkat pusat.











