Hazard pamer aksi menepati standard - Utusan Malaysia

Hazard pamer aksi menepati standard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez menghambur pujian tinggi kepada Eden Hazard yang dianggap menepati standard sebagai ketua pasukan selepas penye­rang Chelsea itu memainkan peranan besar ketika membenam Scotland 4-0 dalam aksi persahabatan awal pagi semalam.

Hazard berada dalam kelas tersendiri de­ngan membantu jentera serangan The Red Devils menjadi lebih tajam sebelum dike­luarkan pada minit ke-56.

Hazard berjaya menggandakan kedudukan buat Belgium menerusi gol menarik (min-46) selepas penyerang Manchester United, Romelu Lukaku membuka tirai jaringan pada minit ke-26.

Kemudian bintang Chelsea itu mencipta dua peluang buat Michy Batshuayi yang berjaya memanfaatkan hantaran Hazard dengan menjelmakannya sebagai jaringan pada minit ke-52 dan 60.

Ketika ditanya adakah Hazard terlalu be­kerja keras dalam aksi persahabatan antarabangsa, Martinez mahu kapten Belgium itu meneruskan watak positif tersebut bagi menjadi satu contoh teladan baik kepada barisan pemain-pemainnya.

“Saya tidak nampak ia menjadi sebagai satu perkara negatif. Hazard sedang menikmati detik terbaik dan dia telah membawa prestasi bagus itu sejak bermain dalam Piala Dunia 2018 Julai lalu.

“Apabila kamu menjadi kapten, kamu harus menepati standard dengan status itu. Ia agak ‘bahaya’ jika kamu turun bermain bola tetapi tidak memberikan segala-galanya.

“Hazard telah memberikan apa yang kamu mahukan daripada seorang kapten. Saya langsung tidak fikir sebarang kesalahan apabila dia berusaha mencuba mencari ruang dan menarik pemain-pemain lawan keluar (daripada kotak penalti),” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN