Hassan ikrar balas dendam - Utusan Malaysia

Hassan ikrar balas dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN 23 Sept. – Presiden Iran, Hassan Rouhani berikrar untuk membalas dendam terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden tembakan rambang ke arah orang ramai yang menyaksikan sekurang-kurangnya 29 orang termasuk anggota Pengawal Revolusi Iran, wanita dan kanak-kanak terbunuh semalam.

Beliau menuduh Amerika Syarikat (AS) sengaja ingin men­cetuskan ketidakstabilan di negara-negara Islam dengan menyalurkan bantuan kewa­ngan dan sokongan ketenteraan kepada kumpulan etnik Arab yang menolak kerajaan.

“Banyak negara Islam di rantau ini disokong oleh AS dan Washington menyalurkan ba­nyak bantuan kepada negara-negara berkenaan.

“Sehubungan itu, Iran akan membalas dendam terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam serangan tersebut dan AS akan menyesal dengan sikap agresif mereka,” katanya sebelum meninggalkan Teheran untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Dalam pada itu, kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut yang berlaku di bandar Ahvaz manakala pihak berkuasa Iran menuduh regim luar yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) merupakan dalang kepada kejadian berkenaan.

Seorang wartawan tempatan yang merupakan saksi kejadian memaklumkan bahawa insiden tembakan itu berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 minit dan seorang daripada penyerang memakai uniform anggota Pe­ngawal Revolusi Iran.

Behrad Ghasemi memberi­tahu penyerang tidak me­nya­sarkan mana-mana pihak ketika melepaskan tembakan yang bertalu-talu.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa negara ini memanggil semua diplomat dari Denmark, Belanda dan Bri­tain selepas didakwa melindu­ngi beberapa anggota kumpulan pengganas tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qasemi ber­kata, negara ini tidak dapat menerima tindakan Kesatuan Eropah yang enggan menyenarai hitam kumpulan pengganas ter­sebut.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menerusi Twitternya menyatakan bahawa serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan pengganas yang di­rekrut, dilatih dan dibiayai oleh regim luar.

Sementara itu, Daesh menerusi media propagandanya memaklumkan bahawa sera­ngan tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap campur tangan pihak berkuasa dalam beberapa konflik di negara ini.

Empat penyerang turut dilaporkan terbunuh dalam sera­ngan tersebut, manakala 57 yang lain cedera. AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN