PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya juga menetapkan hari penamaan calon bagi PRK itu pada 29 September ini manakala hari pengundian awal pada 9 Oktober depan.
Menurutnya, PRK Port Dickson melibatkan peruntukan RM3.6 juta kerana ia membabitkan lima Dewan Undangan Negeri di bawahnya.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon pada 29 September ini sehingga pukul 11.59 malam, 12 Oktober 2018,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas PRK Parlimen Port Dickson di sini semalam.










