Harga rumah sukar turun walau tanpa Sst - Utusan Malaysia

Harga rumah sukar turun walau tanpa Sst

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI rumah sendiri adalah impian bagi setiap orang. Namun, tidak semua mampu untuk memilikinya. Kenaikan harga rumah saban tahun membimbangkan rakyat. Mengikut laman sesawang EdgeProp.my, antara tahun 2011 hingga 2017, peningkatan harga rumah menunjukkan sebanyak 7.78 peratus melebihi peningkatan isi rumah iaitu -0.75 peratus. Hal ini menjadi faktor utama kegagalan rakyat untuk memiliki rumah terutama bagi golongan M40 dan B40.

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, M40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan purata bulanan di antara RM3,860.00 hingga RM8,319.00 manakala kumpulan B40 mempunyai pendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00. Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu RM950.00 sebulan.

Sehingga suku pertama 2018, harga purata rumah yang ditunjukkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta adalah RM280,000 berbanding pada 2017 iaitu RM303,000. Walaupun ia menunjukkan angka lebih rendah berbanding 2017, tidak mustahil harga rumah ini akan terus meningkat hingga ke hujung 2018 sekali pun kerajaan mengisytiharkan tiada cukai dikenakan ke atas beberapa bahan binaan utama yang digunakan.

Perlu diketahui harga rumah tidak hanya bergantung kepada bahan binaan semata-mata. Bahkan hampir 70 peratus kos yang terlibat adalah nilai tanah dan fi yang perlu di bayar oleh pemaju dan juga kontraktor kepada badan-badan berkaitan. Meskipun, Bank Negara Malaysia memberi gambaran harga rumah yang mampu dimiliki rakyat hanyalah RM282,000, ia adalah mustahil untuk disasarkan oleh pemaju dan kontraktor kerana nilaian tanah yang melonjak di beberapa kawasan antaranya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan juga Johor.

Inisiatif kerajaan baharu dalam pengecualian cukai bahan binaan adalah satu tindakan positif tetapi tidak cukup kuat untuk menurunkan harga hartanah di Malaysia. Oleh itu, beberapa perkara mungkin dapat dilakukan sebagai langkah tambahan membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka.

Antara yang terpenting dalam menentukan harga rumah adalah nilai pasaran tanah tersebut. Semakin membangun kawasan, menjadikan ia lebih banyak permintaan seterusnya meningkatkan harga pasaran. Pemantauan yang telus dan ketat haruslah diambil agar nilai ini tidak dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa had sehinggakan penduduk atau rakyat setempat terbeban.

Contohnya, pembelian rumah oleh warga asing yang dibenarkan melalui Program Malaysia Rumah Keduaku yang diwujudkan sejak 2002. Program ini membolehkan warga asing membeli rumah dengan syarat-syarat tertentu seperti nilai rumah melebihi RM1 juta dan bukan lot bumiputera. Sehingga 2017, sebanyak 35,381 permohonan diluluskan yang kebanyakan dari China, Jepun, Bangladesh, United Kingdom dan beberapa negara lain. Suasana Malaysia yang aman dan bebas daripada bencana alam semestinya menjadi tarikan kuat kepada warga asing untuk menetap di sini. Ditambah pula dengan nilai mata wang kita yang rendah menjadikan harga RM1 juta itu sesuatu yang tidak membebankan bagi mereka. Ia boleh menjadi faktor pendorong kepada pemaju untuk menyasarkan tanah yang ada kepada warga asing untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi.

Selain itu, kesukaran memiliki rumah bagi golongan M40 dan B40 juga adalah dalam menyediakan pendahuluan perumahan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah ditetapkan. Pendapatan rendah dengan komitmen tinggi berserta faktor umur yang semakin meningkat akan menyukarkan dalam permohonan pinjaman perumahan. Kita harus sedar yang mereka mempunyai wang yang disimpan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan untuk membantu mereka. Akan tetapi, pengeluaran wang KWSP hanya boleh dilakukan dengan mengemukakan surat perjanjian jual beli yang memerlukan individu menyediakan deposit terlebih dahulu. Dengan kekangan-kekangan ini, adalah mustahil bagi kumpulan ini untuk memiliki rumah.

Melihat kepada arus kepesatan pembangunan dengan kemasukan pelabur-pelabur asing di Malaysia, sepertinya penurunan harga rumah sukar untuk dilakukan. Walaupun begitu, tinjauan dan pantauan oleh pihak berkaitan adalah amat diperlukan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas cukai yang dikenakan.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN