NEW YORK 28 Sept. – Kerajaan Malaysia yang baru dipilih berharap dapat mengurangkan sejumlah besar hutang negara dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengutamakan usaha bagi pemulihan kekayaan dan menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh berkenaan.
“Sekarang ini kita sebagai kerajaan. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan beberapa masalah yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.
Berita berkaitan:
“Kerajaan sebelum ini telah meminjam sejumlah wang yang besar iaitu lebih RM1 trilion. Adalah sukar bagi kita tetapi dalam satu atau dua tahun ini kita boleh mengurangkan jumlah itu,” katanya semasa sesi dialog bersama masyarakat Asia di sini dengan bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang bertindak sebagai moderator.
Mengenai hutang Malaysia, Dr. Mahathir berkata, tiada negara sepatutnya mempunyai hutang di luar kemampuannya dan beliau merasa terkejut bagaimana kerajaan sebelum ini boleh membiarkan ini berlaku.
Beliau berkata, kerajaan telah membatal dan mengkaji semula sejumlah projek yang berkos tinggi bagi membantu pengurangan keseluruhan hutang.
Antara projek berkenaan ialah Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dikendali oleh China dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).
“Kami masih berusaha (untuk berunding), dan saya rasa kontraktor di China tidak begitu gembira tetapi tidak pula membantah secara keras, katanya.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan pelaburan terus asing kerana Malaysia ialah lokasi pelaburan yang baik.
Sementara itu semasa sesi soal jawab, Dr. Mahathir berkata, nilai-nilai murni memainkan peranan penting bagi menyemai integriti dalam sistem pendidikan dan pembangunan sesebuah masyarakat.
“Hari ini kebanyakan negara termasuk Malaysia, ibu bapa tidak mampu mendidik anak mereka berhubung nilai-nilai murni kerana mereka bekerja dan tidak mempunyai masa berkualiti mencukupi untuk diluangkan bersama anak.
“Jadi, kita di sekolah, dalam sekolah rendah dan taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu mendidik anak dengan nilai-nilai murni,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, sekolah hendaklah memberi kepentingan kepada sistem nilai-nilai murni yang akan mencorak secara positif peribadi masyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa ingin menjadi Menteri Pendidikan agar boleh mengkaji semula kurikulum pendidikan di Malaysia tetapi perlu mengetepikan idea itu kerana terpaksa mematuhi manifesto pilihan raya PH yang menyebut Perdana Menteri tidak boleh memegang lain-lain jawatan menteri.
Sesi berkenaan turut mendengar Rudd pada pertengahan temubual itu berkata, beliau menganggap Dr. Mahathir sebagai santo pelindung.
“Amat jarang sekali saya melihat seorang pemimpin menyampaikan ucapan selama 30 minit tanpa nota. Kami anggap anda sebagai santo pelindung sekembali semula dalam politik,” katanya dan disambut ketawa daripada hadirin. – BERNAMA











