Hanya si gila buat begitu... - Utusan Malaysia

Hanya si gila buat begitu…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH kucing bunting dimasukkan ke dalam mesin ba­suh yang berfungsi dan dibiarkan sehingga mati merupakan satu tragedi. Kejadian yang berlaku di sebuah kedai dobi di Gombak, Selangor itu selayaknya disifatkan sebagai perbuatan orang gila.

KUCING yang bernama Tuah.

Saya pasti ramai pencinta kucing di luar sana turut merasai apa yang saya rasa. Rata-rata kita sedih, marah dan kecewa.

Hakikatnya, banyak lagi kejadian kucing atau binatang yang didera – dicungkil biji mata, dilemaskan di dalam air, disepak terajang sehingga patah kaki dan sebagainya. Yang pelik, si pelakunya masih mampu ketawa seolah-olah gembira. Benarkah mereka gembira atau sakit jiwa?

Saya mempunyai tiga ekor kucing. Seekor ibu yang berusia enam tahun, anaknya (lima tahun) dan seekor lagi yang saya namakan Tuah, dijumpai di bahagian tempat enjin kereta kira-kira dua bulan lalu. Usia Tuah ketika itu mungkin hanya kira-kira seminggu.

Bagaimana Tuah boleh berada di tempat enjin kereta? Persoalan ini juga masih bermain-main dalam kotak pemikiran saya.

Yang pasti dia bertuah kerana walaupun berada di tempat enjin yang panas disebabkan kereta saya bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, dia ditemukan masih hidup.

Menariknya tentang Tuah ialah ‘dia’ seolah-olah faham apa yang diperkatakan. Matanya yang bulat akan terkebil-kebil apabila kena marah. ‘Dia’ akan melompat-lompat gembira apabila diajak bergurau. Setiap kali saya pulang dari tempat kerja, dia sudah sedia menunggu di pintu bersama-sama ibu dan abang angkatnya. Tuah, walaupun masih kecil ‘dia’ cukup menceriakan.

Semalam, saya melihat satu lagi perubahan pada Tuah. ‘Dia’ mula memanjat tingkap. Apabila kena marah, cepat-cepat ‘dia’ turun.

Saya sedar ada antara kita tidak sukakan kucing. Ini lumrah. Kita tidak boleh memaksa orang lain menyukai apa yang kita suka. Namun, tidak suka kepada sesuatu itu bukan bermakna kita boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati kita.

Dan membunuh kucing dengan cara yang sadis untuk dijadikan bahan gurauan bukanlah perbuatan manusia normal. Manusia yang sihat akal fikirannya bukan sahaja perlu menjaga hubungan sesama manusia tetapi juga dengan apa yang ada di sekelilingnya.

Kajian Universiti Columbia telah membuktikan aktiviti bersama haiwan kesayangan terutama kucing dapat me­ningkatkan hormon untuk mengawal mood, mengurangkan emosi negatif dan membuatkan seseorang menjadi lebih bahagia. Sekali gus mengurangkan tekanan perasaan dan kesunyian dalam diri.

Di negara ini, tingkah laku kejam manusia terhadap haiwan sering kali dibiarkan begitu sahaja. Mereka ini selalunya terlepas daripada hukuman kerana tidak ramai yang memperjuangkan nasib haiwan-haiwan malang ini.

Kini melalui kuasa laman sosial, diharap akan lebih ramai dapat tampil membantu. Pun begitu, ‘kuasa’ yang ada itu perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya. Setiap gambar yang ditularkan perlu disertai dengan maklumat tepat.

Sekiranya tanggungjawab ini dapat dilakukan bersama, kisah kucing bunting dibunuh kejam pasti­nya tidak akan berlaku lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN