Hanya empat kesalahan Syarie dikenakan hukuman sebat di Kelantan - Utusan Malaysia

Hanya empat kesalahan Syarie dikenakan hukuman sebat di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Setakat ini hanya empat kesalahan Syarie boleh dikenakan hukuman sebat di negeri ini iaitu melakukan zina, mukadimah zina, minum arak dan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata hukuman bagi kesalahan berkaitan musahaqah atau lesbian masih lagi denda sebanyak RM500 atau penjara dan setakat ini masih belum ada pindaan.

Mengikut Seksyen 15, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang dengan sengaja melakukan musahaqah dengan perempuan yang lain, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi empat bulan atau kedua-duanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga kini pindaan yang dibuat adalah hanya bagi membawa hukuman sebat yang selama ini dijalankan di penjara ke kawasan luar (terbuka) mungkin di kawasan masjid atau stadium tertutup.

“Pindaan itu sudah diluluskan di peringkat kerajaan negeri cuma tarikh sebenar ia akan diwartakan belum diputuskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Hududullah’ peringkat negeri di sini, hari ini.

Ahmad berkata sejak 1987 hingga 2011, terdapat 10 kes sebat dijalankan membabitkan 13 pesalah mukadimah zina serta meminum arak dan hukuman sebat yang dijalankan tidak melebihi enam sebatan.

“Apa yang penting hukuman yang dijalankan adalah bertujuan mendidik dan bukannya mahu mencederakan pesalah,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini