SELEPAS kecewa tidak dapat beraksi pada Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone gara-gara hujan lebat minggu lalu, pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafizh Syahrin Abdullah sedia untuk melepaskan ‘geram’ di Itali hujung minggu ini.
Perlumbaan pada GP San Marino di Litar Marco Simoncelli Misano minggu ini bakal menyaksikan deruman jentera MotoGP kembali kedengaran selepas perlumbaan di Litar Silverstone minggu lalu terpaksa dibatalkan.
Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 berkata, dia sudah tidak sabar untuk menguji Litar Marco Simoncelli Misano, lebih-lebih lagi pernah muncul sebagai naib juara di situ ketika beraksi dalam kategori Moto2 musim lalu.
“Perlumbaan seterusnya ialah GP San Marino dan saya sentiasa menantikan perlumbaan tersebut kerana Litar Marco Simoncelli Misano merupakan salah satu litar kegemaran saya serta ada memori indah di sana.
“Apa yang pasti, saya perlu mempersiapkan diri bagi memastikan saya mampu menampilkan aksi terbaik sejak latihan bebas pertama lagi. Selain itu, sesi kelayakan juga bakal menjanjikan saingan sengit, jadi saya perlu baiki cara tunggangan,” kata Hafizh.
Ketika ini, Hafizh masih mendahului senarai pelumba baharu terbaik apabila menghuni tangga ke-16 carta kejuaraan dengan 24 mata, dua mata meninggalkan pencabar terdekat yang juga juara dunia Moto2 musim lalu, Franco Morbidelli.
Mengulas mengenai pembatalan GP Britain minggu lalu, pelumba berusia 24 tahun itu mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun menegaskan bahawa keselamatan pelumba menjadi keutamaan.
“Agak kecewa kerana tidak dapat berlumba di Silverstone kerana saya tidak pernah mengharungi perlumbaan dalam suasana hujan lebat selepas dinaikkan pangkat ke saingan MotoGP. Bagaimanapun, keselamatan pelumba lebih penting, jadi ia keputusan yang tepat,” ujarnya.











