Guru wanita maut kereta bertembung treler - Utusan Malaysia

Guru wanita maut kereta bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seorang guru wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kayu getah di kilometer 26 Jalan Seremban-Kuala Pilah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa, M.Tanalachumy, 26, yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kelpin dekat Jempol meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, nahas membabitkan sebuah treler dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban dan dua kereta Proton Saga BLM dari arah bertentangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa sedang memotong sebuah kereta lain lalu bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran, treler itu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar sebuah lagi kereta Proton Saga BLM. Mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu treler dan sebuah lagi kereta tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat Tanalachumy dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seri Menanti, Roslan Sahrani berkata, seramai tujuh anggota dari balai tersebut dengan bantuan tujuh anggota dari BBDP Kuala Pilah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 3.50 pagi.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. Mangsa yang beralamat di Taman Bukit Berlian di Seremban kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini