SABAK BERNAM – Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di sini sanggup berbelanja RM1,500 bagi menghias kediamannya sempena Hari Malaysia esok bagi menyatakan rasa cinta kepada negara ini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Ru, Azli Suradi berkata, kerja-kerja menghias dan membuat beberapa replika secara sendiri sejak April lalu.
Katanya, ini termasuklah pembinaan replika kapal yang dinamakan ‘Bahtera Merdeka’ di sudut kiri pintu gerbang memasuki rumahnya selain replika bunga raya dan menghias basikal lama.
“Ini merupakan manifestasi saya dalam menunjukkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Malaysia ke-55 tahun ini.
“Tambahan, kedudukan rumah yang terletak di tengah-tengah kampung dan berdepan balai raya secara tidak langsung akan memeriahkan lagi sambutan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Kampung Tebuk Mufrad, di sini hari ini.
Azli menambah, tindakan menghias kediamannya itu merupakan satu kepuasan bagi dirinya untuk berkongsi perasaan sayangi negara ini di samping menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara.
Ujarnya, ini adalah kali keempat dia menghias kediaman itu sejak 2015.
“Setiap orang mempunyai gaya sendiri bagi mempamerkan semangat patriotik mereka yang penting kita sentiasa memastikan keamanan negara demi kelangsungan generasi akan datang.
“Usaha menghias ini juga membawa tuah kepada saya apabila pernah dinobatkan johan kategori rumah kediaman pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor pada 2015,” katanya. – K! ONLINE











