Gunung Rinjani ditutup setahun - Utusan Malaysia

Gunung Rinjani ditutup setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI 8 Sept. – Gunung berapi kedua tertinggi di dunia, Gunung Rinjani ditutup kepada sebarang aktiviti pendakian selama setahun.

Gunung yang turut menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong dan pendaki Malaysia itu mengalami kerosakan teruk pada laluan pendakian akibat kejadian tanah runtuh susulan gempa bumi yang berterusan berlaku sejak awal Ogos lepas.

Gunung berketinggian 3,726 meter itu adalah sebahagian daripada Taman Nasional Rinjani yang seluas kira-kira 41,330 hektar, destinasi popular pelancong luar yang teruja dengan keindahan semula jadinya.

Ketua Taman Nasional Rinjani, Sudiyono berkata, proses pemulihan laluan pendakian akibat kejadian tanah runtuh dan retakan akibat gempa bumi itu dijangka mengambil masa setahun.

“Laluan pendakian banyak yang retak dan sangat membahayakan pendaki, ini mengambil masa setahun untuk diperbaiki bagi membolehkan aktiviti pendakian kembali diadakan,” katanya.

Menurut data Badan Meteo­rologi, Klimatologi dan Geofisika, lebih 700 gempa bumi berlaku di Pulau Lombok sejak 5 Ogos lepas.

Gempa berukuran 7 pada skala Richter yang berlaku mengaki­batkan hampir 100,000 rumah musnah, lebih 400 terkorban manakala 1,000 yang lain cedera.

Ketika pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mengesan mangsa yang dikhua­tiri masih tertimbus di bawah runtuhan akibat gempa, pulau tersebut juga berterusan digegarkan dengan beratus-ratus gempa susulan termasuk gempa berukuran melebihi 6 pada skala Richter. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN