Guna bahasa Melayu dalam urusan rasmi - Utusan Malaysia

Guna bahasa Melayu dalam urusan rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan surat-me­nyurat rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Baginda bertitah, surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahupun PBT di negeri ini perlu ditulis dalam bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat-menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT mesti dalam bahasa Melayu kerana menggunakan kepala surat rasmi walaupun berkaitan pemakluman mesyuarat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titah baginda se­per­ti di­muat naik dalam laman Facebook baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian se­bagai mengulas tindakan seorang Ahli Majlis MBIP yang menggunakan bahasa Mandarin dalam surat rasmi urusan PBT itu mengenai pemakluman sebuah majlis dialog yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Dalam status laman Facebook tersebut, turut dilampirkan gambar surat berkenaan serta cetakan skrin memaparkan Fasal 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan bahawa bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar semua pihak menghormati penggunaan bahasa Me­layu dalam urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri dan PBT.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja, ini amaran saya. Jangan pisang berbuah dua kali,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini