Gugur kes Guan Eng: Senator gesa Peguam Negara beri penjelasan - Utusan Malaysia

Gugur kes Guan Eng: Senator gesa Peguam Negara beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas digesa memberikan penjelasan sewajarnya tentang kenyataan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun berkata ia berhubung pembebasan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah mengenai  pembelian sebuah banglo bawah nilai pasaran.

Menurut Khairul Azwan, Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan  kerana keputusan mahkamah hari ini boleh menyebabkan peranan institusi kehakiman negara diragui.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akui Peguam Negara dan Pejabat Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membuat, menarik balik pertuduhan atau apa-apa tindakan pendakwaan, tetapi kes ini telah menimbulkan ‘big question mark’ dan mencipta pelbagai persepsi tidak baik kerana kes ini telah dibawa ke mahkamah sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

SPRM dalam kenyataan ringkas hari ini menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58 dan Li Koon, 46 berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Li Koon supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata, beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

DNAA bermakna pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini