LONDON 22 Sept. – Bos Chelsea, Maurizio Sarri berada dalam dilema untuk membuat pilihan sama ada menurunkan Alvaro Morata atau Olivier Giroud bagi berdepan West Ham, esok.
Blues kini menghuni kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas memenangi semua lima perlawanan, tetapi pertemuan tersebut setakat ini hanya melibatkan lawan yang kurang mencabar dan belum menguji kemampuan sebenar Chelsea.
West Ham mengharungi pembukaan kempen dengan aksi goyah, tetapi mencipta kemenangan ke atas Everton yang jelas menaikkan kembali semangat pemain mereka.
Perancang utama Belgium, Eden Hazard setakat ini menjadi bintang utama Chelsea selepas meledak hatrik sewaktu membelasah Cardiff 4-1, minggu lalu, sekali gus meletakkan dirinya pada kedudukan pendahulu perebutan Kasut Emas.
Namun, siapa yang menjadi pilihan Sarri mengetuai jentera serangan di Stadium London?
Sehingga hujung minggu lalu, Morata, 25, menjadi pilihan pengurus itu dengan pemenang Piala Dunia, Giroud sekadar memanaskan bangku simpanan.
Namun, Giroud memperoleh peluangnya sewaktu menentang Cardiff, dan Hazard tidak berahsia mengagumi rakan sepasukannya itu apabila memuji pemain antarabangsa Perancis tersebut sebagai penyerang terbaik di dunia.
“Olivier adalah penyerang terbaik, mungkin di dunia, itu pandangan saya. Apabila dia berjaya menguasai bola, dia mampu memegang untuk tempoh yang lama dan kami berupaya melancarkan serangan bersamanya, jadi untuk kami ia menjadi kepuasan bermain dengannya.
“Apabila Alvaro (Morata) pula bermain, gayanya berbeza, tidak sama dengan Olivier tetapi kedua-dua mereka memiliki kualiti hebat. Jadi, saya gembira memiliki dua penyerang itu,” ujarnya. –AFP











