KOTA BHARU 28 Sept. – Kaedah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjaga kedudukan Islam di negara ini didakwa ‘ghenyok’ atau belok apabila semakin banyak perkara janggal berkaitan agama berlaku.
Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, semasa Islam sepatutnya dipertahankan tetapi pimpinan Kerajaan PH khususnya yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama kelihatan lebih mengutamakan sensitiviti pihak lain.
Beliau yang dipercayai merujuk kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf berkata, kritikan pemimpin tersebut kepada cara tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik misalnya yang didakwanya tidak sesuai dengan konteks Malaysia menunjukkan dengan jelas bahawa Islam tidak dipertahankan sebagaimana sepatutnya.
“Orang Islam kena bela Islam, kena perjuangkan Islam dan pertahankan Islam, tetapi hari ini bila ada orang pertahankan Islam seperti (Zakir) kita pula kata cara dakwah seperti itu tidak sesuai dengan negara kita.
“Sedangkan orang ini dunia akui mampu berdakwah dan berhujah sehingga orang masuk Islam secara berhadapan, kita yang kata tidak sesuai cara dakwah macam itu berapa ramai pula orang yang masuk Islam dengan cara kita?,” katanya semasa menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Nassurudin berkata, beliau turut kesal apabila timbul gesaan menutup sebuah sekolah tahfiz di Kepong kerana seorang ustaz dituduh meliwat pelajar sedangkan belum dibuktikan kesalahan di mahkamah.
“(Tetapi) kes 37 orang mati di Selangor kerana keracunan arak tidak kedengaran satu suara pun daripada pimpinan kerajaan PH yang beragama Islam supaya kilang arak ditutup.
“Perkara-perkara begini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita malah banyak lagi perkara pelik sedang berlaku walaupun baharu empat bulan memerintah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










