HULU KELANG – Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang akan disambut pada 8 Disember depan dijangka lebih meriah dengan penyertaan banyak filem box office.
Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Fauzi Ayob berkata, tahun 2018 menyaksikan kebangkitan besar filem Melayu apabila beberapa buah filem mencapai kutipan luar biasa.
Katanya, mengejutkan apabila filem Hantu Kak Limah (HKL) berjaya memperoleh hampir RM40 juta melepasi begitu juga dengan Munafik 2 yang menghampiri RM30 juta.
“Kita tak sangka HKL mendapat kutipan luar biasa dan ketika ini pula Munafik 2 menunjukkan peningkatan sekaligus ia mengangkat perkembangan industri filem kita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat anggota jawatankuasa baharu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan beberapa anggota jawatankuasa lain.
Tambah Fauzi sehingga Jun lalu, bilangan penonton yang menyaksikan filem tempatan mencatatkan jumlah 31.12 juta orang dan ia terus menunjukkan peningkatan bagi suku ketiga tahun ini.
Mengulas mengenai penganjuran edisi ke-30 FFM yang sepatutnya diadakan pada September ini tetapi ditunda sehingga Disember depan, Fauzi menjelaskan penundaan tersebut diputuskan ekoran peralihan sistem pemerintahan negara.
FFM30 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sehingga kini lebih 40 buah filem layar menyertai FFM30 dan penyertaannya dibuka bagi karya yang ditayangkan bermula hujung Ogos 2017 hingga akhir tahun 2018.
“Festival Filem Malaysia tahun ini memasuki usia tiga dekad, jadi saya menggesa ia diraikan seluruh pemain industri sebagai sokongan terhadap pencapaian perfileman negara,” katanya.
Sebagai kelainan penganjuran ke-30 untuk industri, Finas mahu menerapkan elemen antarabangsa dengan penyertaan artis luar negara pada malam kemuncak itu.
Festival pada kali ini turut diselitkan dengan beberapa program ke arah pembangunan seni kreatif seperti simposium karyawan dan hari apresiasi filem. – K! ONLINE










