Felda teliti semula projek KLVC - Utusan Malaysia

Felda teliti semula projek KLVC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah mewujudkan satu jawatankuasa perundingan baharu bagi meneliti dan berunding semula berkenaan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dengan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (Synergy Promenade).

Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor menjelaskan, langkah itu berikutan jawatankuasa siasatan sebelum ini gagal mendedahkan laporan forensik sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah Felda yang baharu.

“Kita mempunyai satu jawatankuasa perundingan sebelum ini dan mereka telah diberi tempoh enam bulan yang berakhir pada 16 Julai lepas iaitu tempoh sebelum Lembaga Pengarah baharu dibentuk.

“Oleh itu, sebelum dapat memulakan rundingan semula de­ngan mereka (Synergy Prome­nade), kita juga perlu tahu bagaimana untuk mengetengahkan perkara (untuk perbinca­ngan) itu,” katanya pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Mengulas selanjutnya, Megat Zaharuddin berkata, jawatankuasa baharu itu kini dalam peringkat memperhalusi mandat yang diberi dan akan memulakan rundingan dengan Sy­nergy Promenade sebelum akhir tahun ini.

“Pada masa ini, kita masih dalam usaha mengumpul maklumat daripada pihak pengurusan serta berbincang dengan pihak peguam,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa satu siasatan forensik baharu mungkin dibentuk bagi meneliti pelbagai perkara lain.

“Semua maklumat itu akan dikemukakan kepada kerajaan dalam bentuk Kertas Putih yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen seterusnya sebelum akhir tahun ini.

“Kertas tersebut antara lainnya akan mengetengahkan pelbagai isu dalam Felda termasuk kelemahan perancangan, tadbir urus dan penyelewengan dalam agensi berkenaan,” ujarnya. 
– Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN