SERI ISKANDAR 16 Sept.
Suatu ketika dahulu atlet memanah Pahang, Muhammad Fahrur Rosi Choiril Anuar sering menerima kritikan daripada rakan-rakan berikutan mempunyai minat mendalam terhadap sukan memanah.
Dianggap tidak mempunyai masa depan sering kali kedengaran di halwa telinga Fahrur namun atlet berusia 20 tahun itu menetapkan pendiriannya dan tanpa diduga dia berjaya memenangi emas acara memanah 90 meter (m) compound individu lelaki di Padang Universiti Teknologi Petronas (UTP), hari ini.
Lebih manis dia turut memecahkan rekod temasya selepas mengumpul 335 mata mengatasi pencapaian atlet Sabah, Wong Co Wan dua tahun lalu. Perak menjadi milik Eugenius Lo Foh Soon dari Sabah dengan 331 mata manakala gangsa milik atlet Terengganu, Mohamad Syafiq Md. Ariffin dengan 330 mata.
“Sebelum ini, saya sering disindir oleh rakan-rakan kerana mereka menganggap sukan memanah ini tidak mempunyai masa depan tetapi saya tidak ambil peduli. Bagi saya sukan memanah memberi kepuasan dan saya buat apa yang saya suka.
“Bagi saya, itu pandangan masing-masing dan saya langsung tidak ambil kisah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahrur turut berharap kejayaannya memadam rekod temasya dapat membuka mata pihak bertanggungjawab untuk menyenaraikannya mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung di Myanmar, Disember ini.
Sementara itu, Eugenius turut memecahkan rekod temasya apabila mengumpul 349 mata, sekali gus memenangi emas bagi acara 70m compound lelaki. Perak milik Muhammad Aliff Aiman Mohd. Hassri dari Selangor dengan 346 mata manakala gangsa dimenangi Ngu Gao Teck dari Sarawak dengan 344 mata.










