Faang Der pecah rekod kebangsaan - Utusan Malaysia

Faang Der pecah rekod kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Rekod kebangsaan akhirnya berjaya dipecahkan selepas tujuh hari Sukan Malaysia (Sukma) 2018 membuka tirai menerusi perenang Johor, Tia’a Faang Der dalam acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini semalam.

Faang Der, 20, tampil dalam kelas tersendiri apabila melakukan catatan masa 4 minit 30.48 saat (s) meleburkan rekod milik Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan yang mencatat masa 4:30.85s pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Julai lalu.

Pencapaian cemerlang Faang Der turut berjaya mengatasi rekod kejohanan berusia 16 tahun milik Die Uang Manggan dari Sarawak pada edisi 2002 di Sabah.

“Sebenarnya, saya hanya sasar untuk pecah rekod terbaik saya iaitu 4:42:49s. Saya tidak sangka boleh pecahkan rekod kebangsaan.

“Bagi Sukma kali ini, satu lagi acara yang akan saya sertai iaitu 200m kuak kupu-kupu lelaki yang mana saya sasar untuk menang emas,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Pingat perak dan gangsa acara itu dimenangi oleh Sebastian dengan catatan masa 4:30.79s, manakala Arvin Shaun Chalal Singh (4:33.01s).

Semalam, acara renang membuka tirai dengan menyaksikan dominasi Selangor yang berjaya meraih empat pingat emas daripada lapan acara dipertandingkan.

Selangor memenangi pingat emas menerusi Asmalia Filzati Redzuan bagi acara 100m gaya bebas wanita, Ng Jing Fu (100m kuak dada lelaki) Jordan Yip Zhu Ern (50m kuak lentang lelaki) dan Nadia Adrianna Redza Goh (400m rampaian individu wanita).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN