IPOH 17 Sept. – Atlet lompat kijang wanita negara, R. Kirthana mengakui dia masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya meskipun berjaya merangkul pingat emas bagi acara lompat kijang dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak, hari ini.
Kirthana yang mewakili Perak berkata, dia berasa kecewa kerana tidak dapat memecahkan rekod yang dipegang oleh rakan senegerinya, Ngew Sin Mei yang melakukan lompatan 13.51 meter di Sukma 2004.
“Saya berasa gembira kerana memperoleh emas namun agak kecewa kerana tidak dapat memecahkan rekod senior saya. Selepas ini, saya akan beraksi dalam acara lompat jauh dan saya berharap dapat melakukan lompatan lebih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kirthana melakukan lompatan 12.95m mengatasi Mahira Hanis Ishak yang melakukan catatan 12.66m. Gangsa menjadi milik Nurul Ashikin Abas dengan 12.48m.










