WILMINGTON 15 Sept. – Taufan Florence membawa ‘bencana banjir’ ke Carolina meskipun ia berubah menjadi ribut topika yang semakin lemah.
Ribut berkenaan menyebabkan keadaan huru-hara di Carolina apabila hujan lebat yang dibawanya turut menyebabkan air sungai melimpah tebing sehingga berlaku banjir, kata Pusat Taufan Kebangsaan.
Gabenor North Carolina, Roy Cooper berkata, hujan dijangka berterusan beberapa hari lagi dan bakal menyebabkan air sungai meningkat dan banjir.
Setakat ini, tiga kematian telah disahkan akibat ribut berkenaan dan beberapa lagi masih dalam siasatan.
Seorang ibu dan anaknya dilaporkan menjadi mangsa pertama apabila rumah mereka ditimpa pokok tumbang manakala bapanya cedera dan menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, di Pender County, seorang wanita meninggal dunia akibat serangan jantung setelah pasukan paramedik gagal menyelamatkannya kerana laluan ke tempat beliau tersekat.
Menurut jurucakap pihak berkuasa daerah itu, dua lagi terbunuh di Lenoir County apabila seorang lelaki berusia 78 tahun itu terkena renjatan elektrik, manakala seorang lagi ditiup angin kencang ketika memeriksa anjing peliharaannya.
“Kami tahu ia akan menjadi ribut besar,” kata Cooper pada sidang akhbar di Raleigh sambil memetik ramalan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menyatakan hampir keseluruhan negeri ditengelami air.
Di New Bern, North Carolina, lebih 100 orang diselamatkan daripada banjir. – REUTERS










