ARAU 25 Sept. – Misteri kehilangan individu yang dilaporkan di Jitra, Kedah dua hari lalu mungkin terungkai dengan penemuan dua mayat di dalam parit di Simpang masuk Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew yang tidak menolak kemungkinan kes orang hilang di Jitra itu mempunyai kaitan dengan penemuan mayat tersebut bagaimanapun berkata, siasatan lanjut mengenai perkara itu akan diteruskan.
Dua mayat dalam keadaan kembung dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lalu akibat kemalangan itu ditemukan oleh penduduk kampung berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.
Mangsa lelaki yang ditemukan itu ialah Muhammad Hayat Romzi, 19, dari Padang Terap, Kedah manakala identiti mangsa wanita tersebut masih belum diketahui.
Difahamkan Muhammad Hayat adalah seorang pelajar dari Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah.
Wari berkata, pihaknya menemukan sebuah motosikal di dalam parit berdekatan mangsa selain kesan rempuhan di sebatang pokok berhampiran kawasan itu.
Katanya, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kangar ke Alor Setar dan terbabas di kiri jalan sebelum merempuh pokok seterusnya terjunam ke dalam parit itu.
“Mayat yang ditemukan itu berada dalam keadaan kembung yang dipercayai meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.
“Salah seorang mangsa dikenal pasti selepas kita menjumpai kad pengenalannya manakala seorang lagi masih belum diketahui identitinya,” katanya di sini semalam.











