Dua lelaki parah ditetak - Utusan Malaysia

Dua lelaki parah ditetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Sept. – Dua lelaki parah ditetak dengan parang oleh tiga lelaki bertopeng dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap Geng 36 di Jalan Sejati, Sungai Petani kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa berusia 24 dan 38 tahun cedera pada kedua-dua tangan, bahagian belakang badan dan pinggang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang berbual dengan dua lagi rakannya di jalan utama berkenaan sebelum didatangi sebuah kereta Perodua Myvi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemudian tiga lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan parang terus menyerang mangsa. Dua lagi rakan mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri.

“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai kerana ingin membalas dendam kerana mangsa tidak mahu bekerja semula dengan sindiket dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan juga mendapati salah seorang mangsa tetak tersebut baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara bagi kes Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 22 Jun lalu selepas ditahan pada 2015.

“Mangsa dipercayai diserang tiga lelaki berkenaan kerana enggan menerima arahan untuk bekerja semula sebagai ‘runner’ mengedar dadah.

“Dipercayai kejadian ini juga membabitkan kumpulan kongsi gelap Geng 36 yang aktif di Taman Sejati dan Taman Keladi,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dilaporkan stabil.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta melaporkan kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini