ALOR SETAR – Dua lelaki direman selama enam hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang calon yang bakal bertanding pada pemilihan PKR negeri tidak lama lagi.
Perintah tahanan reman terhadap dua suspek berusia 46 dan 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun.
Terdahulu, dua lelaki terbabit tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.45 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR negeri.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 48 tahun ditahan di sebuah restoran di Alor Setar pada pukul 12.20 tengah hari semalam diikuti suspek berusia 46 tahun di Plaza Tol Pendang Lebuh Raya Utara-Selatan pada pukul 3.25 petang semalam.
Katanya, SPRM menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 58 tahun mendakwa dua lelaki terbabit meminta rasuah sebanyak RM20,000 bagi memastikan nama pengadu yang sudah didaftarkan untuk pemilihan peringkat cabang parti kekal seterusnya layak bertanding.
“SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – K! ONLINE










