Dua lelaki direman kes rasuah pemilihan PKR Kedah - Utusan Malaysia

Dua lelaki direman kes rasuah pemilihan PKR Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 16 Sept. – Dua lelaki yang merupakan sekretariat jawatankuasa pemilihan PKR di negeri ini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes rasuah menjelang pemilihan parti.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua mereka yang berusia 48 dan 46 tahun dikeluarkan Majistret, Mohd. Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Majistret di sini. 

Utusan Online hari ini melaporkan, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, mereka dipercayai meminta wang berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 58 tahun sebagai dorongan supaya namanya tidak digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding pada pemilihan parti peringkat cabang di negeri ini pada 22 September ini.

Suspek pertama berusia 48 tahun ditahan di sebuah restoran di Alor Setar kira-kira pukul 12.20 tengah hari manakala suspek kedua berusia 46 tahun ditahan kira-kira pukul 3.25 petang berhampiran Plaza Tol Pendang, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) semalam. 

Susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua lelaki berkenaan. 

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. 

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN