Dua Lans Koperal didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Dua Lans Koperal didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 18 Sept. – Dua anggota polis me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang penjaga kedai komputer, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asrol Che Hassan, 30, dan Cornelius Guntalib, 27, kedua-duanya berpangkat Lans Koperal membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan sebanyak RM500 daripada lelaki berusia 28 tahun itu sebagai dorongan untuk tidak menyamannya kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen motosikal dan tidak membuat ujian air kencing ke atasnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa bersetuju dan me­nerima rasuah RM400 sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki berkenaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pondok Polis Komuniti Tampoi Indah, No. 23 Jalan Mawar 4, Taman Tampoi Indah 2, Tampoi di sini pada pukul 5.30 petang, 16 Jun 2017.

Kedua-dua anggota polis itu didakwa mengikut 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Muhamad Fairoz Elyas Majeed.

Muhamad Fairoz memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan selain bekerja sebagai anggota polis.

Kamarudin kemudiannya membenarkan kedua-dua anggota polis itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini