SEREMBAN – Dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah di Seri Kembangan, Selangor pada Mei lalu.
Perintah reman ke atas kedua-dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Mas Azmimin Ahmad kira-kira pukul 11 pagi.
Permohonan reman yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim dibuat bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua lelaki itu diwakili peguam Fadhli Sutris.
Anggota polis masing-masing berpangkat lans koperal dan koperal itu disyaki berpakat meminta rasuah RM800 daripada seorang lelaki ketika kereta dipandunya bersama seorang pekerja lelaki warga Bangladesh ditahan berhampiran Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).










