Dovizioso tawan Litar Misano - Utusan Malaysia

Dovizioso tawan Litar Misano

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISANO – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mempamerkan tunggangan cemerlang untuk merangkul juara pada perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano biarpun memulakan perlumbaan di petak keempat malam tadi.

Pelumba kelahiran Itali tersebut hanya memerlukan lima pusingan sahaja untuk memintas rakan sepasukan, Jorge Lorenzo untuk terus berada di depan bagi memimpin perlumbaan yang masih berbaki 22 pusingan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, hajat Ducati untuk mendapatkan kemenangan 1-2 tidak kesampaian apabila Lorenzo gagal mengekalkan kedudukan tempat kedua apabila terjatuh ketika perlumbaan berbaki dua pusingan selepas dicabar sengit oleh pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dan terpaksa menamatkan saingan di kedudukan ke-17.

Dovizioso melakukan catatan 42 minit 05.42 saat untuk menamatkan saingan di hadapan Marquez sementara pelumba Honda LCR, Cal Crutchlow meraih tempat ketiga.

“Kami telah melakukan yang terbaik sejak sesi latihan dan kelayakan sehari sebelum perlumbaan sebenar hari ini (malam tadi).

“Ketika berada di depan saya telah melakukan segalanya untuk terus menerajui perlumbaan kerana saya tahu Marquez sentiasa memberikan saingan yang sengit apabila berada di belakang.

“Apa yang penting adalah saya dapat memenuhi keinginan untuk menaiki podium di GP San Marino kerana impian tersebut telah berada dalam diri sejak dahulu lagi,” kata Dovizioso.

Dalam pada itu, kejayaan tersebut juga berjaya menamatkan kemarau 10 tahun Ducati untuk memburu kejuaraan di Litar Misano apabila kali terakhir mereka memperolehnya pada 2008.

Setelah melalui 13 perlumbaan musim ini, Marquez masih mendahului carta kedudukan pelumba dengan 221 mata diikuti Dovizioso (154 mata) dan Valentino Rossi (151 mata). 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN