HaVANA 15 Sept. – Beberapa pekerja sebuah pasar raya di Cuba telah dipecat kerana menjual 15,000 epal hanya kepada seorang pelanggan di negara yang dibelenggu masalah kekurangan bekalan makanan.
Agensi berita kerajaan, Granma melaporkan, pekerja tersebut diberhentikan kerja setelah berita jualan itu dipaparkan pada blog seorang wartawan yang menyaksikan kejadian itu.
Sekumpulan lelaki muda berpakaian seperti separa tentera memasuki pasar raya itu dan membeli 150 bekas berisi 100 biji epal setiap satu, menurut wartawan Iorel Sanchez yang memberitahu bahawa kesemua buah-buahan itu dijual kepada seorang pelanggan sahaja.
Pembeli membayar 45 sen bagi setiap epal, berdasarkan resit yang dimuat naik dalam catatan blog tersebut.
Kejadian itu bukan sesuatu yang biasa di Cuba yang kerap dilanda masalah kekurangan makanan termasuk buah, mentega, susu dan bir sehingga peniaga membeli stok makanan yang banyak sebelum menjualnya pada harga lebih tinggi.
Granma melaporkan lapan pekerja pasar raya milik Cimex Corporation, yang dikendalikan oleh kerajaan, telah dipecat.
Cuba mengimport hampir kesemua makanan untuk keperluan 11 juta penduduknya, termasuk epal, menurut laman rasmi Cubadebate. – AFP










