KUALA LUMPUR – Jenazah komposer terkenal Pak Ngah atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd. Zain yang meninggal dunia pada pukul 3.05 petang tadi, akan dibawa pulang pada pukul 8 pagi esok.
Menurut anaknya, Megat, jenazah akan dibawa balik ke Malaysia dari Tanjung Pinang, Indonesia ke Pasir Gudang, Johor dengan menaiki sebuah bot khas pada pagi esok.
Katanya, perjalanan yang mengambil masa sekitar dua jam itu kemudian dijangka tiba di Malaysia sekitar pukul 10 pagi dan kemudian dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru, di sini dengan menggunakan van jenazah.
Jenazah Allahyarham kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,
“Dimaklumkan jenazah akan dibawa balik dengan menaiki bot khas esok dan dijadualkan berangkat pada pukul 8 pagi (waktu Malaysia) dari Tanjung Pinang ke Pasir Gudang.
“Kemudian, jenazah Allahyarham dibawa menaiki van jenazah untuk disempurnakan di Masjid Jamek Kampung Baru,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Dalam kerjaya seni, Pak Ngah banyak terlibat dalam penghasilan lagu berbentuk Irama Malaysia sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang memenangi kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya iaitu ialah Hati Kama, Samrah Mentari dan Dondang Dendang dipertandingkan menerusi Anugerah Juara Lagu 1999.
Pak Ngah kemudian terus mencipta nama selepas menerbitkan album Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sehingga mendapat pengiktirafan lima platinum pada tahun 2000 atas penjualan melebihi 250,000 unit. – K! ONLINE











