KUALA LUMPUR – Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM (DHU) bersedia untuk memenuhi permintaan tinggi bagi tenaga kerja dalam sektor automotif yang akan memerlukan kira-kira 700,000 pekerja dalam tempoh dua tahun akan datang.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Omar Osman berkata, perkara itu berdasarkan permintaan yang mendesak untuk kereta, pertumbuhan ekosistem automotif negara dan bagi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif serantau.
Katanya, selain meningkatkan kemahiran graduan DHU dengan teknologi industri automotif yang praktikal untuk menyokong pasaran tempatan, rancangan universiti itu pada masa depan adalah menjalin kerjasama di peringkat ASEAN dengan rakan-rakan di Indonesia, Thailand, Bangladesh, China dan India untuk memenuhi kapasiti pasaran kerja serantau.
“Industri automotif akan berkembang di seluruh rantaian bekalan, daripada pusat servis kepada operasi pembuatan dan sehingga perkhidmatan selepas jualan, untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Ini bukan sahaja meliputi bidang teknikal di peringkat kilang tetapi juga bidang bukan teknikal seperti kesihatan dan keselamatan dalam aspek pembuatan dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Omar berkata, bidang pertumbuhan baharu yang mempunyai potensi dalam sektor automotif termasuk sukan bermotor, kesihatan dan keselamatan.
Beliau berkata, DHU menyedari mengenai cadangan projek kereta nasional lain yang mungkin melibatkan kenderaan elektrik atau hibrid.
Katanya, universiti itu bersedia untuk menyediakan tenaga kerja yang mungkin diperlukan.
Sehubungan itu, jelas beliau, DHU menjalin kerjasama dengan agensi dan kementerian yang berkaitan sektor automotif dan Kementerian Pendidikan.
“DHU menyedari industri automotif sedang berkembang pesat yang melibatkan kemajuan dalam bidang elektronik, mekanisasi dan robotik.
“Bagi tujuan itu, kami menawarkan kursus teknikal dan kejuruteraan yang relevan, termasuk melengkapkan pelajar dengan keupayaan yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.
Omar berkata, DHU telah membangunkan program akademik yang memenuhi keperluan industri dan usaha itu dilengkapi dengan sokongan daripada DRB-HICOM Bhd. dan 60 syarikat yang terlibat dalam pembuatan kereta, pemasangan, pengeluaran komponen, servis, perbankan dan hartanah.










