TIGA nama, hanya satu yang akan bergelar juara. Sudah bersedia memberikan persembahan terbaik mereka pada malam ini, baik Adam, Imran dan Haziq, gelaran juara Da’i musim keenam bukan sesuatu yang dikejar.
Bagi mereka, perjuangan berdakwah dan menyebarkan Islam tidak tertakluk dalam ruang lingkup pentas akhir tersebut, namun kemenangan menjadi tiket melebar sayap untuk terbang mencapai misi dan visi.
Sedar tanggungjawab dan cabaran sebenar bakal bermula selepas berakhirnya malam final, tiga anak muda ini sudah bersedia untuk melangkah dengan lebih dinamik mendepani ujian dalam perjuangan sebenar.
Berbekalkan tunjuk ajar murrabi (mentor), Ustaz Haryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin, malam penentuan ini bakal diuji dalam dua segmen persembahan dan ujian taranum.
Imran matang pada usia muda
Bergelar peserta paling muda pada pentas akhir program realiti pencarian pendakwah itu, Da’i Imran, 21, tidak melihat usia sebagai satu faktor kesangsian masyarakat menerima nasihat dan dakwahnya.
“Ada orang yang proses matangnya lambat dan ada orang yang proses matangnya cepat. Tapi saya sedar, ada perkara di luar kemampuan diri. Contohnya, untuk memberi nasihat rumah tangga, saya yang belum berkahwin mungkin lebih baik mengunci mulut.
“Yang penting, kita jaga tutur kata dan mencuba untuk jadi yang terbaik,” katanya.
Biarpun masih hijau, pemegang Diploma Tahfiz Dan Syariah, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini mempunyai kelebihan dalam pengkhususan al-Quran dan hadis.
Namun tidak melihat itu sebagai kunci kemenangan, Imran atau Imran Mohd. Zaki sedar setiap peserta mempunyai kekuatan masing-masing. Memberi fokus kepada isu-isu kritikal yang melanda, dia sedar peranan pendakwah besar tanggungjawabnya.
“Masyarakat hari ini melihat al-Quran itu jauh tetapi mereka perlu sedar, kitab suci itulah jawapan kepada setiap krisis yang sedang melanda dunia. Kunci moraliti yang patut ada dalam setiap insan.
“Itu adalah fokus saya pada pentas akhir nanti. Kali ini cabarannya berbeza kerana ada dua persembahan. Kena berlakon pula, jadi bertambah tekanan. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik,” kata anak kelahiran Klang, Selangor ini.
Berbicara soal kemenangan, Imran mengakui, lumrah setiap manusia mengimpikan gelaran juara. Namun tidak bererti itu adalah hala tujunya bertanding dalam program Islamik tersebut.
“Kalau tidak menang pun, bukan satu yang perlu saya kecewakan. Sudah berada di pentas akhir pun satu pencapaian yang amat membanggakan. Tugas sebenar bermula selepas ini,” katanya yang bakal menyambung pelajaran di Istanbul, Turki.
Hajat suci Adam
MEMELUK Islam pada 2010, perjalanan yang perlu ditempuh anak muda berusia 26 tahun ini cukup perit.
Lahir dalam keluarga beragama Kristian. dia mahu ujian yang ditempuh untuk memeluk Islam menjadi sumber inspirasi kepada saudara baharu yang mungkin terpaksa mengharungi kepayahan sama.
“Misi saya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Saya tidak mahu melihat Da’i sebagai satu pertandingan, tetapi penghargaan kepada semua anak muda yang mahu berdakwah.
“Saya mahu jadi inspirasi kepada mereka yang baru memeluk atau cuba mendekati Islam. Memang perjalanan hidup saya sukar tetapi saya berjaya. Saya mula hidup sendiri pada usia belasan tahun jadi kekuatan itu dikumpul untuk memperjuang Islam,” kata anak kelahiran Sabah ini.
Bercakap tentang persediaan detik final, Da’i Adam mengakui, agak tertekan khususnya dalam menyiapkan teks ceramahnya. Lemah dalam hadis dan al-Quran, Adam risau perasaan gemuruh bakal merencatkan persembahan.
“Saya perlu cabar diri untuk berani. Saya perlu lipat gandakan usaha dan banyak bertanya dengan mentor,” katanya yang menganggap taranum menjadi cabaran utama.
Merasakan dua peserta lain lebih layak untuk menang, Adam memanjatkan rasa syukur kerana mampu bertahan sehingga ke pentas akhir.
Biarpun namanya disebut-sebut sebagai bakal juara, namun dia kekal berjiwa hamba.
“Bukan tujuan saya untuk menang. Tiga terbaik pun sebenarnya satu kebanggaan untuk saya. Kalau diikutkan, secara jujur mereka berdua lebih layak,” kata pemilik nama Muhammad Adam Muhibullah Abdullah ini.
Pendakwah perlu holistik – Haziq
Berkelulusan dalam bidang perakaunan dan kewangan dari University of Leeds, United Kingdom (UK), Da’i Haziq melihat itu sebagai satu kelebihan untuknya berdakwah.
Menyedari era modenisasi mempunyai cabaran tersendiri, Haziq atau Haziq Safwan Norzaman berpendapat, golongan pendakwah kini perlu lebih holistik dan dinamik.
Tidak hanya boleh bercakap soal Islam, seorang pendakwah pada pendapat Haziq perlu mempelajari aspek-aspek lain supaya tidak hanya tertumpu dalam satu-satu bidang sahaja.
“Pendakwah era moden perlu holistik, bukan sekadar pandai bercakap. Kita boleh bercakap tentang kewangan, masalah sosial, hartanah dan pelbagai aspek lain dari sudut pandang Islam.
“Ketika di UK, saya melihat bagaimana masyarakat di sana mengamalkan kehidupan berlandaskan Islam, walaupun mereka bukan beragama Islam. Mereka tidak mengumpat dan mengecam individu lain.
“Dari situ saya sedar, pendakwah tidak hanya boleh bercakap soal agama, tetapi sebenarnya perlu lebih luas dan menyentuh pelbagai bidang. Banyak tokoh agama yang bukan belajar daripada jurusan Islam,” kata anak kelahiran Perak ini.
Meletakkan gelaran juara di tempat kedua, Haziq lebih memberi fokus kepada persembahannya pada pentas akhir malam ini. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengecewakan pihak yang selama ini menyokongnya.
Pun begitu, dia tetap menjadikan gelaran juara sebagai satu pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik dan mengharapkan supaya perasaan gemuruh serta gugup tidak menghalangnya.
“Saya seorang yang sangat mudah menerima pandangan orang lain. Pernah sekali saya terpaksa menukar skrip persembahan sebanyak lima kali. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi.
“Kalau boleh, saya tak mahu hafal skrip sebaliknya memahami isinya. Saya mahu meyakinkan penonton dengan cara tersendiri. Ini adalah pentas yang memberi peluang sekali seumur hidup.
“Kalau saya main-main, saya bukan sahaja kecewakan diri sendiri dan keluarga malah saya kecewakan Islam itu sendiri. Saya tak mahu perkara seumpama itu menjadi penyesalan seumur hidup,” katanya.
Jangan mudah melatah – Fakhrul
Tugas sebagai murabbi atau mentor kepada peserta Da’i memberi ruang dan peluang kepada ahli kumpulan UNIC, Fakhrul Radhi Khamarudin berkongsi pengalaman dan kata-kata nasihat kepada mereka.
Tugas pendakwah pada era gobalisasi pada pendapat Fakhrul bukan sahaja menyebarluaskan Islam, malah perlu juga mencari titik persamaan dan berkawan dengan setiap lapisan masyarakat.
“Berdakwah bukan sekadar bercakap tetapi kita perlu membawa elemen sendiri yang berbeza serta mudah untuk difahami. Terutama pada zaman media sosial, tugas pendakwah lebih sukar.
“Pendakwah tidak boleh cepat melatah. Sikap itu akhirnya boleh menyebabkan keluarnya fatwa sendiri dan membuatkan masyarakat memandang serong terhadap perjuangan pendakwah,” katanya.
Bercakap tentang prestasi tiga peserta akhir, Fakhrul berkata, sama ada mereka layak atau tidak di pentas akhir Da’i nanti adalah bergantung kepada persembahan masing-masing.
“Da’i tidak ada undian. Seratus peratus markah juri. Jadi semuanya bergantung kepada kualiti persembahan. Saya tahu mereka boleh lakukan yang terbaik,” katanya.











