LIPIS 10 Sept. – Seorang pemuda, Saifullah Mat Yusoff, 37, yang menderita penyakit ganjil selama dua tahun, iaitu tubuh badannya menjadi kejang memohon supaya ada pihak membantu mengubati penyakitnya itu.
Akibat penyakit itu, Saifullah yang masih bujang dan tinggal bersama keluarganya di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Merapoh dekat sini tidak boleh bertutur tetapi faham setiap pertanyaan berhubung dirinya.
Agak menghairankan, keluarganya memberitahu, sehingga kini penyakit ganjil Saifullah belum dapat dikesan selepas membuat pemeriksaan di Hospital Lipis, Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan Hospital Gua Musang serta Hospital Kuala Krai di Kelantan.
Menurut ibunya, Rokiah Mohamed, sebelum menghidap penyakit ganjil tersebut, anaknya kerap kali mengalami demam sehingga keadaannya bertambah teruk dan terpaksa berhenti kerja lalu pulang ke kampung.
“Sehingga kini, dia sudah dua tahun terlantar menderita penyakit kaku dan kejang pada tubuh badannya dan tidak mampu bercakap, cuma hanya faham perbualan kami.
“Kami masih berikhtiar mengubatinya walaupun dalam keadaan susah dan berharap ada pihak sanggup tampil membantu memulihkan kesihatannya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long di Kampung Merapoh, baru-baru-baru ini.
Rokiah berkata, perbelanjaan makan dan minum serta perubatan anaknya itu diuruskan keluarganya, namun sejak akhir-akhir ini mereka tidak mampu berbuat demikian kerana kesihatannya dan suami, Mat Dilu Idris yang juga bapa tiri Saifullah kerap terganggu.
“Namun, saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut memberi bantuan bulanan sebanyak RM250 untuk Saifullah sejak September 2015 dan dapatlah kami berbelanja untuk keperluannya,” katanya.
Sementara, itu, Mustapa berkata, beliau akan terus memantau keadaan penyakit Saifullah dan memberi bantuan keperluan harian di samping memohon supaya ada pihak merawat penderitaan pemuda tersebut.
“Kita yakin pihak hospital dapat mengesan penyakit pemuda ini dan saya juga sedang berusaha mencari rawatan alternatif seperti perubatan Islam untuk memulihkan komplikasi kaku dan kejang pada tubuhnya,” katanya.










