KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu penjaja warga asing yang semakin berleluasa di sekitar ibu kota.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh beberapa agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Katanya, DBKL yang mengetuai jawatankuasa itu turut akan bekerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi pengesahan kad pelarian dalam kalangan Rohingya.
“Isu warga asing yang menjalankan perniagaan di bawah lesen warga tempatan semakin berleluasa kerana mereka sanggup dibayar gaji sedikit berbanding dengan pekerja tempatan yang mahukan gaji lebih tinggi.
“Bidang kuasa kami hanyalah menyita barangan dan menggantung lesen perniagaan namun operasi penangkapan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan PDRM jadi kerjasama antara agensi-agensi tersebut adalah penting bagi menangani isu itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Penguatkuasaan DBKL ke-49 di sini hari ini. – Bernama











