DBKL janji kawal monopoli peniaga warga asing - Utusan Malaysia

DBKL janji kawal monopoli peniaga warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan pa­sukan petugas khas atau task force bagi menangani isu warga asing yang memonopoli Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang, di sini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, pa­sukan itu akan dianggotai oleh beberapa agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, penubuhan task force yang diketuai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah dimaklumkan kepada Kabinet dan dibincang bersama Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

“Isu warga asing yang menjalankan perniagaan di bawah lesen warga tempatan semakin berleluasa kerana mereka sanggup dibayar gaji sedikit berbanding dengan pekerja tempatan yang mahukan gaji lebih tinggi.

“DBKL memerlukan sokongan daripada agensi lain yang mempunyai kuasa tertentu kerana bidang kuasa kami adalah terhad iaitu hanya boleh menyita barang dan menggantung lesen tetapi tidak boleh menangkap orang,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-49 di sini, baru-baru ini.

Ibrahim memberitahu, sebanyak 3,269 penjaja warga asing telah ditahan menerusi operasi penguatkuasaan secara berterusan dari Januari hingga Ogos lepas.

“Sebanyak 30 siri Operasi Tegas (Ops Tegas) telah diadakan dengan 271 barangan penjaja warga asing telah disita, 13 struktur penjaja dirobohkan dan 167 warga asing ditangkap untuk tindakan Jabatan Imigresen.

“Bagi pasar-pasar awam pula, 71 penjaja warga asing telah disita barangan mereka dan ini dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 3 (1) Pelesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata, pemilik le­sen penjaja yang dimiliki warga tempatan boleh dikenakan tindakan pembatalan kerana menggajikan warga asing sebagai pekerja.

“DBKL tidak pernah mengeluarkan apa-apa kebenaran atau lesen penjaja kepada warga asing dan penjaja juga dilarang sama sekali melantik pembantu yang terdiri daripada warga asing,” katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 42 pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan DBKL dianugerahkan pingat sempena sambutan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN