MUKADIMAH: KEPEMIMPINAN DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL yang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang sebagai Menteri Besar ke-15 melepasi tempoh 100 hari pada 22 Ogos lalu. Walaupun secara logiknya tidak banyak boleh diperkatakan dalam tempoh sesingkat itu, namun kepemimpinan Wan Rosdy, 60, adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Hal ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu mengambil alih teraju pentadbiran daripada Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah 19 tahun memegang jawatan Menteri Besar selain Pahang kini berstatus negeri pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam wawancara bersama pengamal media Pahang selepas lebih 100 hari beliau memegang jawatan itu, Wan Rosdy yang kini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkongsi pandangan dan perancangannya dalam menggalas tanggungjawab berkenaan. Ikuti wawancara berkenaan yang turut disertai wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan ZAMZURINA AHMAD di Wisma Sri Pahang, baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat penerimaan rakyat terhadap kepemimpinan baharu kerajaan negeri?
WAN ROSDY: Saya lihat penerimaan sangat baik menerusi berapa cara seperti secara bersemuka di acara rasmi mahupun ketika ke tempat-tempat awam di luar jadual. Di laman media sosial dan cetak, saya melihat mereka menyambut baik keputusan kerajaan negeri dan menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana ahli-ahli Yang Berhormat berbicara secara beradab.
Salah satu perkara yang diberi tumpuan adalah berkaitan tanah dengan menurunkan kuasa pihak berkuasa negeri kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar Daerah. Mengapakah keputusan ini dibuat?
Dengan penurunan kuasa maka kita dapat mempertingkatkan sistem penyampaian. Sistem ini hanya boleh ditingkatkan jika kita mampu mengurangkan kerenah birokrasi.
Bagaimana pula dengan usaha membanteras penerokaan tanah haram di Pahang?
Saya telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan meningkatkan operasi pembanterasan penerokaan tanah secara haram termasuk mengheret pelaku ke mahkamah.
Apakah usaha yang dilakukan untuk meningkatkan hasil negeri berikutan berlaku ketirisan dalam pemerolehan hasil hutan seperti penerokaan tanah atau pengeluaran balak secara haram?
Selain berharap anak-anak syarikat milik kerajaan negeri (S-GLC) menyumbang sedikit hasil keuntungan mereka antara 15 hingga 30 peratus, saya juga yakin terdapat peningkatan dari segi cukai yang dikenakan. Sebagai contoh, di Cameroh Highlands terdapat tapak-tapak pertanian dijadikan ruang perniagaan maka kita akan tukarkan cukai pertanian kepada perniagaan kerana kadar cukai pertanian lebih rendah. Begitu juga dengan premium kita akan tentukan kadar tertentu yang mendatangkan hasil. Saya jangkakan berlaku peningkatan hasil kerajaan negeri antara 10 hingga 20 peratus.
Apakah lagi keputusan, dasar atau arahan berkaitan kepentingan rakyat yang dibuat dalam tempoh 100 hari pentadbiran?
Banyak juga, antara yang utama adalah menetapkan kadar-kadar tertentu bagi kerajaan negeri memberikan diskaun kepada nilai premium tanah kerajaan yang dibeli. Kita juga telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Muhammad Safian Ismail) supaya menggerakkan usaha bagi mendapatkan semula RM123.32 juta tunggakan-tunggakan cukai tanah sebanyak RM63.54 juta, cukai taksiran am atau cukai pintu sebanyak RM50.04 juta dan sewaan perumahan awam kos rendah (PAKR) sebanyak RM9.74 juta. Saya juga melantik pegawai khas (ekonomi) bagi menyelaras urusan 45 S-GLC bagi mengukuhkan lagi kedudukannya. Dengan pengukuhan ini diharapkan mereka dapat menyumbang kadar dividen tertentu sebagai hasil tahunan baharu kepada kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Datuk Seri melancarkan sistem aduan dalam talian iaitu portal ‘aduan.wanrosdy.com’. Mengapakah ia diperkenalkan dan apakah fungsinya?
Portal ini diwujudkan dalam usaha saya untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat dengan segera. Sebelum ini saya wujudkan akaun Facebook dengan pengikut mencecah 30,000. Tetapi melalui Facebook, kebanyakan aduan yang diterima tidak sah kerana terdapat akaun palsu, namun selepas kewujudan portal ini yang perlu dilengkapi dengan butiran peribadi ia lebih efektif. Ada aduan yang dapat diselesaikan dan ada yang di luar keupayaan kerajaan negeri. Dengan portal ini rakyat akar umbi dapat menyalurkan maklumat secara terus kepada saya. Apa yang saya buat berpegang pada prinsip ‘Daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat’.
Kerajaan negeri kini memberi tumpuan terhadap projek Rumah Makmur dengan harga jualan serendah RM80,000 seunit. Boleh Datuk Seri terangkan?
Manifesto kita adalah untuk membina rumah murah kepada rakyat berpendapatan bawah RM5,000 atau golongan B40. Justeru, projek Rumah Makmur ini adalah salah satu daripadanya dan saya juga bercadang membinanya sebanyak 10,000 dalam tempoh lima tahun. Setelah berbincang dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), permulaan sebanyak 4,000 unit bakal dibina dan saya berhasrat membina rumah murah berharga RM35,000 seunit. Dengan itu kita mewujudkan Tabung Perumahan bagi membantu golongan sasaran memperoleh rumah.
Salah satu isu yang berlarutan sejak 2016 sehingga kepada pentadbiran Datuk Seri adalah pelaksanaan moratorium yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini. Bagaimana pentadbiran Datuk Seri melihat perkara ini?
Saya telah mengadakan perbincangan bersama menteri berkaitan dan kita bersetuju membenarkan bauksit di Pelabuhan Kuantan dikeluarkan sehingga selesai tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan. Untuk pengetahuan, sepanjang tempoh moratorium berlangsung tiada sebarang aktiviti bauksit dijalankan.
Apakah hala tuju, misi dan visi utama yang ingin dibawa Kerajaan Pahang dalam penggal ini?
Memastikan apa juga dasar dan program pembangunan yang kerajaan negeri tetap serta laksanakan mestilah berpusatkan rakyat. Kita tidak akan tumpu untuk mengada-adakan slogan tertentu kerana yang penting, apa juga yang kita laksanakan mestilah dapat memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat.










