KUALA LUMPUR – Selepas menyempurnakan penyertaan dalam pameran elektronik terbesar Eropah, Internationale Funkausstellung (IFA 2018) di Berlin, Jerman baru-baru ini, kini jenama telefon pintar buatan Perancis, Wiko serbu pasaran Malaysia untuk memperkenalkan dua peranti terbaharunya.
Jenama Wiko pada kali ini, mempertaruhkan dua peranti serba baharu yang cukup menakjubkan khas buat pengguna tempatan iaitu View2 Plus daripada koleksi View2 dan Tommy3 Plus pula daripada barisan Y Range.
Menerusi satu kenyataan akhbar hari ini, Wiko menyatakan bahawa kedua-dua telefon pintar terbaharu yang beroperasi di bawah Android Oreo itu sudah berada dalam pasaran tempatan bermula hari ini.
“Kami amat teruja untuk memperkenalkan dua peranti terbaharu ini dalam pasaran Malaysia setelah selesai pelancarannya di IFA Berlin.
“Kedua-dua View2 Plus dan Tommy3 Plus ini merupakan usaha berterusan jenama ini dalam mengimbangi trend teknologi semasa melalui reka bentuk, keperluan pengguna dan gaya hidup,” kata Pengarah Pembangunan Perniagaan Wiko Mobile Malaysia, Neo Lau.
View2 Plus telah hadir pada pilihan warna menarik iaitu Supernova. Mengenai ciri terbaharu dan keistimewaan kedua-dua peranti berkenaan, View2 Plus telah hadir bersama paparan skrin 5.93 inci HD+ dengan nisbah 19:9 yang amat sesuai untuk digunakan hanya dengan sebelah tangan pada pilihan warna menarik iaitu Supernova.
View2 Plus turut dilengkapi dengan cip pemproses Qualcomm berkelajuan Octa-core 1.8GHz bersama 3GB RAM.
Sementara peranti Tommy3 Plus pula diperkenalkan dengan paparan skrin 5.45 inci HD+ yang menyokong nisbah 18:9 dengan ciri-ciri lain termasuk sistem pengecaman wajah.
Rekaan View2 Plus akan dilancarkan secara eksklusif di kedai rasmi Wiko Lazada (https://www.lazada.com.my/shop/wiko-official-store) pada harga pengenalan sebanyak RM499 yang sah hanya dari 17 hingga 19 September ini selepas itu ia dijual pada harga RM559 manakala Tommy3 Plus boleh didapati di seluruh negara bermula hari ini serta dijual pada harga RM399. – K! ONLINE









