PORT DICKSON 17 Sept. – Dakwaan bahawa RM25 juta dibayar kepada bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi mengosongkan kerusi itu baru-baru ini adalah tidak benar.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak masuk akal dan dakwaan itu tidak bertanggungjawab.
“Peletakan jawatan Ahli Parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar sudah dibincang sejak awal lagi dan tidak timbul soal sebarang bayaran kepada sesiapa pun untuk berbuat demikian.
“Bukan setakat di Port Dickson, tetapi banyak kerusi lain yang sedia dikosongkan untuk Anwar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Kampung Sungai Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mohamad Hapil.
Danyal Balagopal meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) dan seterusnya ke Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, desakan supaya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak datang berkempen semasa PRK Parlimen Port Dickson tidak perlu dilayan.
Katanya, ini kerana ia hanya melibatkan pandangan peribadi beberapa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak mewakili pendirian parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
“Isu ini tidak perlulah diambil serius kerana ia disuarakan segelintir daripada mereka dan bukannya mewakili keseluruhan parti Bersatu seperti yang telah dijelaskan.
“Masyarakat juga faham bahawa Rafizi dan Abdullah Sani merupakan tulang belakang memastikan kejayaan parti dan terlibat dalam perbincangan penubuhan PH.
“Tiada sebab untuk mana-mana pihak menghalang mereka berkempen lebih-lebih lagi untuk Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri kelapan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Bersatu Bahagian Port Dickson baru-baru ini meminta dua pemimpin terbabit tidak berkempen semasa PRK Port Dickson kerana pernah membuat tuduhan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin. – UTUSAN ONLINE









