JASIN – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelar dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kononnya pemimpin parti itu diumpan dan “dibeli” untuk menyertai Pakatan Harapan.
Menurut Mohamed Azmin, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu adalah tohmahan semata-mata kerana parti berkenaan telahpun membentuk sebuah kerajaan dan berada pada kedudukan yang kukuh.
Katanya, tindakan keluar parti oleh pemimpin itu sebaliknya merupakan keputusan individu atas alasan tertentu.
“Kita (Pakatan Harapan) tidak perlu mengumpan pemimpin UMNO kerana kedudukan parti ini telah stabil.
“Sekiranya ada ahli yang merasakan parti itu (UMNO) telah rosak seperti yang disebutkan oleh dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman, sudah pasti mereka berhak bertindak keluar parti,” katanya ketika ditemui pada Program Bual Bicara Muafakat di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Bemban di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr. Afif Bahardin dan Timbalan Ketua PKR Cabang Jasin, Azmi Khamis.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Annuar mengenai ada pemimpin parti itu diumpan dan menerima tawaran untuk keluar parti daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PKR semalam.
Katanya, mereka yang ingin menyertai parti Pakatan Harapan perlu melalui proses tertentu supaya tidak mengganggu keharmonian dalam parti berkenaan. – K! ONLINE










