JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa dirinya serta ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diperhatikan.
Menurut baginda, tindakan pengintip ini dilakukan atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan.
“Baru-baru ini saya telah dihampiri oleh seorang individu untuk membeli sebuah peralatan yang mana ia juga dimiliki oleh kerajaan. Alat buatan Israel ini digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data selain digunapakai sebelum pilihan raya untuk membantu dalam perang siber.
“Beberapa orang pegawai kerajaan telah berjumpa dengan saya dengan menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Unit Khas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini,” titah baginda.
Tunku Ismail bertitah, teknologi ini digunakan berkaitan dengan keselamatan negara dan berpendapat adalah sesuatu yang sangat berharga, namun peralatan ini tidak patut diseleweng oleh mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri.
Baginda juga sedia maklum bahawa peralatan ini diguna pakai oleh kerajaan dahulu, tetapi tidak sepatutnya berlaku pada era kerajaan baharu yang tiada tempat untuk pengamalan sebegini.
“Ya, saya memang lantang tetapi ia lahir daripada rasa kasih sayang dan tanggungjawab saya kepada negeri Johor serta rakyatnya.
“Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini,” titahnya.
Tunku Ismail turut menjelaskan bahawa baginda tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan selain memberitahu Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah.
“Dengan itu kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.
“Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara.
“Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji-janji kepada rakyat. Allah Peliharakan Sultan,” titah baginda.










