CSI lahir 300 banduan berkemahiran di Kedah - Utusan Malaysia

CSI lahir 300 banduan berkemahiran di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 18 Sept. – Lebih 300 banduan berjaya mendapat latihan kemahiran menerusi program jalinan kerjasama Corporate Smart Internship (CSI) dengan syarikat swasta sejak dilancarkan pada 2016.

Pengarah Penjara negeri, Mohd. Sabri Yaacob berkata, inisiatif  itu mendapat kerjasama daripada kilang pemprosesan keluli di Sungai Petani iaitu Lypometal Sdn. Bhd.  

Menurutnya, program tersebut dijalankan sebagai persediaan kepada banduan termasuk Orang Diselia (ODS) dan Orang Diparol (ODP) dengan pelbagai kemahiran sebelum dibebaskan sepenuhnya.

“Terdapat dua kategori iaitu banduan yang telah bebas menerusi parol dan satu lagi adalah banduan yang masih menjalani hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni sebelum ditempatkan di kilang tersebut.

“Antara kriteria pemilihan adalah banduan berkelakuan baik selain melepasi proses saringan dan temuduga yang ketat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan dan Penerimaan tugas Pengarah Penjara Alor Setar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksi penyerahan tugas antara Penolong Komisioner Penjara, Raja Mohd Amazon Raja Daud dengan Bekas Pengarah Penjara Alor Setar, Penolong Kanan Komisioner, Wan Sani Ab. Latif.

Raja Amazon merupakan bekas Timbalan Pengarah di Pejabat Pengarah Penjara Kelantan menggantikan Wan Sani yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Penjara Marang, Terengganu berkuatkuasa hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN