City bimbang kecederaan Aguero - Utusan Malaysia

City bimbang kecederaan Aguero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui kemenangan 3-0 ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana England (EPL) yang diraih pasukannya terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas penyerang utama, Sergio Aguero mengalami kecederaan.

Pada perlawanan tersebut, Aguero dilihat tidak beraksi seperti biasa sebelum dikeluarkan pada minit ke-54 dan digantikan dengan penyerang muda dari Brazil, Gabriel Jesus.

Guardiola berkata, keputusan tersebut dilakukan kerana tidak mahu mengambil risiko andai kecede­raan pemain antarabangsa Argentina itu bertambah serius selain berkemungkinan dia turut direhatkan pada aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympique Lyon nanti.

“Dia tidak selesa sepanjang perlawanan tersebut kerana mengalami kecede­raan di bahagian kaki. Saya tidak tahu tahap kecede­raan tersebut tetapi ketika pasukan telah mendahului 3-0, saya percaya dia perlu direhatkan.

“Kami akan pantau situasi Aguero sebelum membuat keputusan sama ada dia akan diturunkan atau tidak pada aksi Liga Juara-Juara menentang Lyon nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Guardiola percaya tonggak tengah, Bernardo Silva merupakan pemain paling meningkat naik buat pasukannya musim ini dan dilihat yang terbaik pada ketika menewaskan Fulham.

“Dia adalah pemain contoh dan paling istimewa buat pasukan kami musim ini. Dia berhak untuk diturunkan pada setiap perlawanan dan rakan-rakan sepasukan turut menghormati kelibatnya yang sangat berpengaruh di atas padang,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN